‘Saya tak hasut jatuhkan kerajaan, jika hasut buatlah laporan polis’: Hadi


(Ismaweb) – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencabar pihak yang tidak berpuas hati terhadap kenyataannya berhubung kemungkinan Kerajaan Persekutuan boleh berubah, untuk membuat laporan polis.

“Mengikut demokrasi berparlimen, kerajaan masih boleh berubah.

“Sama ada melalui undi tidak percaya, mendapatkan akuan berkanun daripada Ahli Parlimen atau Parlimen dibubarkan dan kita mengadakan satu lagi pilihan raya umum.

“Ia boleh dilakukan. Tidak ada yang salah,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Abdul Hadi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada ‘haram’ tindakan Perikatan Nasional (PN) cuba menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sekarang.

“Saya tak menghasut (untuk menjatuhkan Kerajaan Persekutuan sedia ada). Kalau saya hasut, buatlah laporan polis sekali lagi,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu di Dewan Rakyat, Presiden PAS itu berkata, beliau juga bersedia untuk dipenjarakan.

“Dalam Islam, ada dua mahkamah – sekarang dan akhirat. Mereka yang beriman sanggup dihukum di dunia ini.

“Bagi saya sendiri, di mana banyak laporan polis telah dibuat terhadap saya, saya telah diberi layanan profesional oleh polis.

“Saya telah dipanggil ke Bukit Aman, Sentul dengan pegawai juga datang ke pejabat saya. Saya rela dihukum, sama ada dipenjarakan atau penalti,” katanya.

Abdul Hadi kini sedang disiasat berkaitan ucapannya ketika Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Bakri, Muar, pada 26 Ogos, di mana beliau didakwa mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

 



Comments
Loading...