Pengampunan Najib: Hormati hak Agong, Akmal beritahu Rafizi


(FMT) – Kuasa pengampunan untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun adalah kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Akmal berkata atas sebab itu pihaknya menghormati pengampunan diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018, sejurus kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya selepas PRU14.

Menurutnya, segala keputusan pengampunan membabitkan Najib juga harus dihormati PH.

“Bagaimana kita menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan diraja kepada perdana menteri, begitu juga PH perlu menghormati apa sahaja keputusan baginda terhadap Najib,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Akmal itu menyusul pandangan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli semalam bahawa PH tidak akan bersetuju dengan pengampunan untuk Najib dalam mesyuarat Kabinet dan perbincangan antara parti kerajaan perpaduan.

Najib yang disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bekas presiden Umno itu mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lalu, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, disusuli Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

April lalu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno meminta Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pengampunan diraja kepada Najib mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

 



Comments
Loading...