Anwar perlu lepas jawatan, bukan rombak Kabinet: Razali


(Ismaweb) – Kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya melepaskan jawatannya selepas gagal menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup yang menghimpit rakyat ketika ini.

Sehingga kini tiada usaha dan arah tuju yang jelas dilakukan oleh Kerajaan Madani dalam menangani masalah rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr Razali Idris.

“Kita tak nampak ada usaha dilakukan ke arah untuk menstabilkan harga barang dan juga redakan keresahan rakyat berikutan barang keperluan asas tak ada dalam pasaran masa ini.

“Kalau MCA rakan sekutu pun beri desakan kepada beliau letak jawatan sebagai Menteri Kewangan, kita sebagai pembangkang lebih dari itu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali menjelaskan keperluan semasa adalah peletakan jawatan dan bukannya melakukan rombakan Kabinet.

Katanya, tindakan merombak Kabinet hanya merugikan berikutan tidak mampu menyelesaikan masalah sebaliknya hanya menggantikan individu yang sama sahaja.

Pada masa sama, Razali turut meluahkan kekecewaan dengan keadaan ekonomi ketika ini yang membebankan rakyat selain kekurangan barangan keperluan.

“Harga barang naik sebab mata wang kita rendah dan tiada usaha dilakukan untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Jadi Anwar kena letak jawatan,” tegasnya.

Terdahulu, MCA menggesa Anwar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

Jurucakap parti itu, Mike Chong berkata, Anwar perlu melantik Menteri Kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi sekali gus membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.

 



Comments
Loading...