Serbuan SPRM: Tiada dokumen anak guam dirampas, kata firma guaman
(FMT) – Firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) mengesahkan tiada dokumen milik anak guam dirampas dalam serbuan SPRM semalam.
Dalam kenyataan hari ini, RDS berkata dokumen-dokumen itu dilindungi undang-undang dan SPRM tidak diberi akses ke atasnya.
“Pada Jumaat, 12 pegawai SPRM datang ke pejabat kami dan meminta untuk memeriksa premis dan merampas dokumen.
“Kami maklumkan kepada mereka dan kami ingin sekali lagi menyatakan dokumen anak guam dilindungi di bawah undang-undang dan tidak boleh dirampas SPRM seperti dinyataan Seksyen 46 Akta SPRM 2009,” katanya.
“Seksyen 46 jelas mengakui kesucian perundangan maklumat atau komunikasi yang dilindungi ini. Justeru, pegawai SPRM tidak mendapat akses ke atas mana-mana dokuman anak guam kami,” kata RDS.
Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap seorang peguam yang terlibat dalam usaha kerajaan mendapatkan semula aset 1MDB.
Ketika dihubungi, Azam berkata peguam itu – yang tidak dinamakannya – antara individu yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.
Ketika mengesahkan serbuan itu, dia menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut “menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa.”
“Kerana pihaknya mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam tersebut dan klien-kliennya,” kata Azam.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kemudian menyifatkan serbuan itu sebagai salah guna kuasa.
Rosli Dahlan, yang merupakan rakan kongsi RDS, adalah ketua pasukan pembelaan Muhyiddin dan Bersatu.
Mengulas lanjut, RDS berkata sebagai firma guaman mereka komited untuk menghalang sebarang bentuk pelanggaran, eksploitasi atau paksaan oleh mana-mana pihak berkuasa sepanjang mewakili anak guam mereka.
“Rakyat ada hak untuk diwakili secara perundingan dan prinsip sejabat ini tidak boleh diabaikan.
“Peguam adalah bahagian utama dalam pentadbiran keadilan masyarakat yang ingin menjadi sebuah demokrasi yang progresif dan berfungsi.
“Kami kekal komited dengan prinsip ini dan akan terus melindungi kepentingan dan hak perundangan semua anak guam kami,” kata RDS lagi.