Terengganu perkasa pemantauan, penguatkuasaan etika berpakaian mesra syariah
Kerajaan Terengganu akan memperkasakan etika pakaian mesra syariah, terutama membabitkan pelancong asing.
(Berita Harian) – Antara kaedah bagi memastikan pelancong terutama pelancong asing mematuhi etika berpakaian adalah melalui kerjasama dengan pengusaha pelancongan, selain aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan, terutama di pulau pelancongan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang jadi tumpuan pelancong antarabangsa.
“Etika pakaian mesra syariah bermula di semua pintu masuk ke negeri ini. Kita juga akan memasang papan tanda mengenai etika ini di semua pintu masuk ke Terengganu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.
Beliau berkata ketika ditemui pada program kunjungan kasih ke atas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan Tatu ATM sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini, hari ini.
Rabu lalu, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menggesa kerajaan negeri memperkasakan pelaksanaan syariah dalam usaha memberi kefahaman kepada pengunjung luar membabitkan etika berpakaian.
Zuraida mengakui gusar apabila sebahagian pelancong Muslim semakin berani melanggar Garis Panduan Pelancongan yang diwujudkan kerajaan negeri kerana masih ramai tidak tahu kewujudan garis panduan itu, selain disebabkan kelemahan penguatkuasaan.
Razali mengakui usaha mendidik pelancong dari dalam dan luar negara berkaitan etika itu masih kurang, menyebabkan ada antara mereka berpakaian mencolok mata, terutama ketika melancong ke beberapa pulau peranginan di negeri ini.
“Kita dalam usaha memperkasa dan mendidik pelancong Muslim dari dalam dan luar negara agar mematuhi etika berpakaian,” katanya.