Dokumentari skandal 1MDB bakal ditayangkan di pawagam terpilih


(Malaysiakini) – Man On The Run merupakan sebuah dokumentari yang membongkar kisah benar dan mengejutkan mengenai skandal kewangan negara 1MDB.

Kisah yang dipaparkan dalam dokumentari ini tertumpu kepada Low Taek Jho atau Jho Low, lelaki misterius dan seorang kasanova yang kini sedang menjadi buruan.

Low didakwa bekerjasama dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak bagi mendalangi satu skim untuk memperalatkan 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang ditubuhkan pada 2009 untuk kebajikan rakyat Malaysia.

Pada 2015, wartawan Clare Rewcastle-Brown (Sarawak Report) menerima dokumen kewangan yang telah dibocorkan, mendorong siasatan di seluruh dunia yang mendapati sejumlah besar wang disalurkan ke akaun-akaun bank antarabangsa, bagi membiayai gaya hidup mewah Low.

Ini termasuk pembelian hartanah mewah, jet peribadi, kapal layar, sambutan parti mewah melibatkan selebriti dan juga membiayai filem blockbuster Hollywood, The Wolf of Wall Street.

Pengarah dan penerbit eksekutif Man On The Run, Cassius Michael Kim, mendapat akses bagi mewawancara individu dari kedua-dua belah pihak untuk membolehkan penonton mendengar sendiri pengalaman peribadi mereka mengenai skandal kewangan terbesar itu

Kim ialah pengarah, penerbit dan penulis yang membantu menerbitkan siri original CNN, The Wonder List with Bill Weir.

Dia juga menerbitkan filem Stockton On My Mind, dengan kerjasama Marc Levin’s Blowback Productions dan HBO Documentary Films, mengenai Datuk Bandar Michael Tubbs Jr. dan bandar Stockton, California.

Stockton On My Mind menjadi pilihan rasmi di Festival Filem Tribeca 2020 dan Festival AFI DOCS 2020 serta dicalonkan dalam kategori Outstanding Current Affairs Documentary for the 2021 News & Documentary Emmy Awards.

Impian seorang pengarah

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Kim berkata, “Apa yang saya dapati benar-benar menarik tentang cerita ini ialah betapa sedikitnya ia diketahui di Amerika.

“Walaupun mendapat liputan dalam beberapa akhbar terbesar di negara ini dan dipaparkan dalam buku terlaris, melibatkan ramai orang dalam beberapa sektor paling berprofil tinggi di dunia (Hollywood, Wall Street, Timur Tengah, dan lain-lain), kebanyakan orang di Amerika tidak tahu apa yang berlaku dalam saga 1MBD.

“Selain itu, walaupun berpuluh, meskipun tidak ratusan, orang mendapat manfaat daripada skandal 1MDB dan membantu Jho Low dan konspiratornya, sangat sedikit orang yang dipertanggungjawabkan. Bagi seorang wartawan dan pembikin dokumentari, ini adalah seperti impian yang menjadi kenyataan,” katanya.

Siri wawancara pertama Man On The Run bermula pada musim panas 2021 dan penerbitannya bermula secara serius pada musim bunga 2022. Pasca produksi selesai pada musim bunga 2023, sebelum akhirnya siap untuk ditayangkan.

Dokumentari itu menampilkan wartawan Rewcastle Brown, Ketua Pegawai Eksekutif TheEdge, Ho Kay Tat dan Bradley Hope; pemberi maklumat, Xavier Justo; serta ahli politik seperti Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Parlimen, Tony Pua serta bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Kim dan krunya juga menemu bual Najib Razak di Kuala Lumpur pada hari pertama Ramadan pada 2022.

“Kami telah menghubungi pasukannya beberapa bulan sebelum itu dan rundingan mengenai wawancara berterusan sehingga beberapa hari sebelum temuramah sebenar.

“Walaupun pasukan bekas perdana menteri itu mengharapkan beberapa syarat atau penyelarasan mengenai wawancara berkenaan, apa yang kami boleh janjikan ialah ia mewakili perspektif yang objektif dalam menceritakan kisah 1MDB sambil mematuhi etika dan garis panduan kewartawanan. Akhirnya, mereka setuju untuk bekerjasama dengan kami di bawah syarat-syarat ini,” jelas Kim.

Sebelum kekalahan Najib pada PRU14, kebanyakan media tempatan tidak berani menyentuh mengenai skandal 1MDB, tetapi dalam usaha mengawal naratif, keadaan itu hanya menimbulkan lebih banyak dampak buruk kepada kerajaan.

“Kerap kali dikatakan usaha menyembunyikan jenayah lebih teruk daripada jenayah itu sendiri. Dalam kes 1MDB, kedua-duanya berjalan seiring. Pujian perlu diberikan kepada wartawan, pegawai penguatkuasa undang-undang dan ahli politik yang mengambil risiko besar bagi mendedahkan kedalaman sebenar skandal ini.

“Skop jenayah ini sangat besar sehingga hampir mustahil untuk disorokkan, walaupun dengan usaha yang diselaraskan oleh kerajaan untuk menutup siasatan dan mengehadkan kebebasan media. Tetapi pada akhirnya, kejayaan dalam membongkar hal ini adalah milik sepenuhnya mereka yang berusaha untuk melakukannya pada hari-hari yang sukar,” kata Kim.

Man On The Run akan ditayangkan di beberapa pawagam GSC yang terpilih bermula pada 19 Oktober.

 



Comments
Loading...