Gempar bila Penasihat Khas Anwar kritik Belanjawan 2024


(Harakah) – PROFESOR Ekonomi PROFESOR Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah, adalah salah seorang daripada lima individu yang dilantik bagi menganggotai badan penasihat khas yang akan membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada 7 Februari 2023.

Empat tokoh lain ialah Penasihat PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican, Pengerusi Eksekutif FVSB, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng; dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Tidak banyak yang diketahui mengenai apa yang dilakukan oleh badan penasihat khas ini dalam membantu Menteri Kewangan kerana tiada laporan mengenainya, termasuk mengenai sama ada mereka terbabit ataupun tidak dalam penyediaan kandungan Belanjawan 2024.

Bagaimanapun, tiga hari sebelum Belanjawan 2024 dibentangkan, iaitu pada 10 Oktober 2023, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah dilapor mencadangkan secara terbuka kepada Menteri Kewangan supaya menekankan kepada pengurangan hutang dalam Belanjawan 2024.

Ini, kata beliau, berlaku kerana perbelanjaan mengurus yang dikeluarkan telah melebihi pendapatan dari cukai. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mencantas perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu dan mencari lebih banyak cukai-cukai baru untuk mewujudkan pendapatan baru.

Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah juga mencadangkan supaya Menteri Kewangan mengumumkan pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2024 bagi membolehkan kerajaan membantu isi rumah B60 dengan lebih berkesan.

Mengikut beliau, cukai yang dibayar oleh B60 boleh dikembalikan kepada mereka melalui e-invois menggunakan nombor pengenalan cukai dan ini akan hanya membabitkan kurang daripada RM4 bilion tetapi kerajaan akan memperolehi pendapatan melebihi RM30 bilion dari T40.

Bagaimanapun, selepas Belanjawan 2024 dibentangkan pada 13 Oktober 2023 ternyata semua cadangan yang dikemukakan secara terbuka kepada Menteri Kewangan oleh Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah ini tidak dipertimbang dan tidak diguna pakai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah membuat selaran terbuka dengan menyatakan bahawa pendekatan dasar fiskal yang dibentang dalam Belanjawan 2024 dibimbangi tidak dapat membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.2 peratus menjelang 2025.

Beliau mendakwa kerajaan tiada strategi untuk menambah pendapatan secara berkesan meskipun menunjukkan hasrat untuk membantu golongan rentan dalam negara dan bertanya: Jika kita tidak menambah hasil maka bagaimana kita boleh mencapai sasaran 3.2 peratus defisit fiskal pada 2025?

Persoalan dalam perkara ini ialah:

(1) Apakah fungsi dan peranan badan penasihat khas yang ditugaskan untuk membantu Menteri Kewangan jika nasihatnya kepada Menteri Kewangan tidak digunapakai?

(2) Apakah badan penasihat khas ini hanya sekadar digunakan untuk menunjukkan konon Menteri Kewangan merujuk kepada pakar kewangan sedangkan hakikatnya tidak?

(3) Jika Menteri Kewangan tidak menggunapakai nasihat badan penasihat khas, nasihat siapakah yang beliau guna pakai, apakah dari kabinet dapur (kitchen cabinet) beliau?

(4) Jika Menteri Kewangan menggunapakai nasihat dari kabinet dapur beliau siapakah anggota kabinet dapur ini dan apakah nasihat mereka boleh dipertanggungjawabkan?

Bila Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dikritik oleh badan penasihat khas beliau sendiri yang merupakan pakar kewangan tersohor dengan gelaran Profesor Ulung tidakkah ini bermakna Belanjawan 2024 ini adalah belanjawan yang teruk?

Sesatunya langkah terhormat dan bermaruah yang boleh Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah buat bila beliau dianggap seperti tunggul kayu dan nasihat beliau selaku Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan tidak digunapakai oleh Menteri Kewangan ialah meletakkan jawatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pula, jika beliau mempunyai tata kelola yang betul, perlu bertiwikrama untuk mencerakinkan perkara ini dan memecat Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah sebagai badan penasihat khas kerana berani mengkritik beliau.

DR MUKHTARUDDIN MUSA
Mantan pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK)



Comments
Loading...