Kerajaan takut dijatuhkan melalui kandungan media sosial, dakwa A.Kadir


SUara TV) – Elemen-elemen yang mendukung Kerajaan Perpaduan hari ini amat peka mengenai potensi kritikan dan kandungan media sosial untuk menggugat dan seterusnya menjatuhkan kerajaan.

Bekas wartawan, Datuk A.Kadir dalam perkongsian terbaru di Facebooknya menyatakan bahawa beliau tahu punca Kerajaan Perpaduan takut akan pembangkang dan media sosial.

“Saya rasa, saya tahu pasal apa Kerajaan Perpaduan, khususnya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, takut sangat kepada pembangkang dan media sosial. Ada orang kata, kerana ketakutan itulah, beliau telah bertindak bercanggah dengan ekspresi keterbukaan dan liberalisme Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tetapi orang yang sama juga memberi kata dua agar mendalami dan memahami adakah Anwar benar-benar seorang yang terbuka, liberal dan boleh menerima nasihat serta kritikan?

“Khabarnya, hari ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Kelab Wartawan Malaysia mengadakan persidangan “by invitation only” di pejabat SKMM, Cyberjaya, bagi membincangkan lanskap media. Boleh jadi ia adalah konfrensi di kalangan penyokong dan simpatisan kerajaan – “among the like-minded”,” dakwa A. Kadir pada Jumaat.

Malah katanya, beliau tidak hairan kalau ketakutan Kerajaan Perpaduan terhadap kritikan dan kandungan media sosial ini “real” dan tindak-tanduk KKD dan SKMM adalah manifestasi ketakutan itu.

“Ini adalah kerana elemen-elemen yang mendukung Kerajaan Perpaduan hari ini amat peka mengenai potensi kritikan dan kandungan media sosial untuk menggugat dan seterusnya menjatuhkan kerajaan,” katanya.

Hal demikian kata beliau, untuk memahami “mindset” ini, kita kena kembali kepada sejarah pemodenan telekomunikasi dan pengenalan multimedia di Malaysia pada dekad 1990-an.

Jelas A.Kadir yang mempeloporinya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad bermula dengan akta berkaitan telekomunikasi dan multimedia serta pemodenan prasarana telekomunikasi manakala yang mempelopori penggunaannya untuk tujuan propaganda politik adalah Anwar melalui gerakan reformasi.

“Budak-budak beliaulah yang terawal memperalatkan komunikasi atas talian bagi menyebarkan diayah politik menggunakan label-label kasar seperti “Mahazalim”, “Mahafiraun” dan seumpamanya dalam percubaan menjatuhkan Dr Mahathir. “Maha” adalah kod bagi Mahathir seperti “Atok” yang digunakan oleh penyokong muda beliau sekarang.

“Kesimpulannya, kalau Anwar dan aktivis-aktivis reformasi menggunakan media atas talian dalam percubaan menjatuhkan Dr Mahathir pada tahun 1990-an maka media sosial yang lebih besar dan canggih hari ini boleh melakukan hal sama terhadap beliau dan kerajaannya tetapi dengan lebih berkesan.

“Anwar gagal menjatuhkan Dr Mahathir pada tahun 1990-an melalui penggunaan media sosial tetapi hari ini media sosial telah menjatuhkan banyak kerajaan di merata dunia,” katanya.

 



Comments
Loading...