Anwar: Perdana Menteri terpaling gagal dalam sejarah


MINGGU ke-empat Dewan Rakyat adalah tempoh penggulungan oleh Menteri dan berakhir pada petang Khamis lepas dengan penggulungan oleh Menteri Kewangan. Manakala sesi pagi pula adalah sesi soal jawab.

Menariknya minggu ini terdapat kejadian luar biasa yang berlaku apabila terdapat soalan yang dilangkau oleh Speaker Dewan akibat Menteri dan Timbalan Menteri tidak hadir. Seingat saya ini kali pertama berlaku. Biasanya soalan akan dilangkau jika adanya Ahli Parlimen yang bertanya tidak hadir pada waktu itu.

Sebelum ini jika Menteri atau Timbalan Menteri tidak dapat hadir, maka jawapannya akan dijawab oleh Menteri atau Timbalan Menteri di kementerian lain, manakala soalan tambahan pula jika tidak dapat dijawab akan dijawab secara bertulis.

Lebih menarik lagi ialah sewaktu penggulungan Menteri Pendidikan semalam, beliau sebak sewaktu menjawab isu Minggu Solidariti Palestin, takbir dan doa qunut nazilah.

Beliau menegaskan jangan siapa pun kacau dan jangan usik sekolah kami; baik di sana (kami Ahli Parlimen pembangkanglah) mahupun di sini (Ahli Parlimen kerajaan).

Beliau menegaskan jangan bising dan jangan susah hati kalau sekolah tak ada takbir dan tak ada qunut nazilah kerana ada sebab kenapa ia berlaku begitu.

Saya pun tak pasti, Menteri Pendidikan sebenarnya nak tujukan kepada ‘di sana’ atau ‘di sini’? Sebab seingat saya, bahkan semua orang tahu bahawa yang ‘mengacau’ itu ialah ‘di sini’ termasuk 12 Ahli Parlimen dan ADUN PKR apatah lagi DAP, bukan saja Ahli Parlimen ‘anak bilis’, tetapi bos-bos sendiri terutamanya Ahli Parlimen Seremban dan Ahli Parlimen Teluk Intan.

Jika ditujukan ‘di sana’ agak pelik kerana kami tidak pernah dibenarkan masuk ke sekolah dan tiada pun gangguan atau kacauan terhadap agenda penting ini, malah kami menyokong sepenuhnya solidariti terhadap Palestin yang diadakan di sekolah.

Hasilnya keluarlah ‘Dont’s untuk Minggu Solidariti Palestin‘ yang meragukan khususnya nombor 6.

Adakah pihak Menteri tersepit dalam isu ini kerana setelah arahan dikeluarkan, banyak pula bantahan dari rakan sendiri. Nak tarik balik nampak sangat tunduk dengan kehendak mereka. Teruskan tetapi dengan ‘Dont’s‘ yang dikeluarkan.

Saya nak nyatakan bahawa isu takbir dan qunut nazilah bukan isu susah hati atau buat bising, tetapi ianya tanda membesarkan Allah dan pergantungan kepadaNya dan menjadi sunnah Nabi S.A.W dan diikuti oleh para khulafa’ khususnya ketika peperangan untuk membaca qunut nazilah. Kenapa tidak boleh?

Yang paling menarik sekali ialah sewaktu penggulungan Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri sendiri yang berakhir dengan Belanjawan 2024 diluluskan oleh suara majoriti.

Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkaitan royalti petroleum tidak dijawab oleh Menteri Kewangan. Jawapan hanya diberi dalam bentuk sindiran sahaja.

Beliau banyak memberikan perhatian kepada istilah baharu dan isu bahasa. Bagi saya ianya tidak pelik dan bukan luar biasa kerana beliau berkelulusan Sastera Melayu. Isu bahasa ini memang kepakaran beliau, bukan ekonomi.

Apabila didesak lagi oleh Pengkalan Chepa setelah penggulungan yang panjang lebar, beliau terus tamatkan penggulungan.

Ini adalah secebis kisah perjalanan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Dua minggu sebelum ini adalah tempoh perbahasan Ahli-ahli Parlimen telah menyaksikan kosongnya kerusi Menteri mahupun Timbalan Menteri, ada waktu kosong terus, tiada seorang pun menekuni sesi perbahasan. Seolah-olah perbahasan ini langsung tidak penting!

Hanya ketika Perdana Menteri hadir, maka dewan akan dipenuhi oleh Ahli Parlimen blok kerajaan.

Adakah jika kita katakan bahawa kerajaan ini sebenarnya gagal berfungsi dengan baik dan kegagalan ini sudah tentu perlu dipertanggungjawabkan kepada Perdana Menteri.

Ini bermakna Perdana Menteri ke-10 (PMX) adalah seorang Perdana Menteri yang gagal. Terpaling gagal dalam sejarah.

Sebelum berakhir saya teringat kata-kata Abraham Lincoln ‘My great concern is not whether you have failed, but whether you are content with your failure”. (Kebimbangan besar saya bukanlah sama ada anda telah gagal, tetapi sama ada anda berpuas hati dengan kegagalan anda).

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai



Comments
Loading...