Klip lawan boikot McDonald’s diserang selepas naratif ‘orang kita’ gagal yakinkan pengguna
Ia seiring dengan usaha keras McDonald’s Malaysia melawan sebuah kempen boikot yang mengaitkannya dengan sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Israel.
(Malaysia Now) – Sebuah klip video yang cuba melawan kempen memboikot McDonald’s di sebalik sentimen anti-Israel di kalangan pengguna Islam memakan diri apabila ia dibanjiri komen yang mempersoalkan naratif bangsa pekerja di samping cuba menonjolkan kegiatan amal jariah rangkaian makanan segera Amerika Syarikat itu.
Klip itu memuatkan perbualan dengan seorang pengurus McDonald’s yang memakai mafla Palestin, sambil menceritakan cabaran yang dialaminya dalam mendepani kempen memboikot jenama itu.
Video berdurasi lebih 6 minit itu bermula dengan seorang lelaki yang memberitahu hampir semua kakitangan McDonald’s adalah Melayu tempatan.
“Ini orang kita ni, orang Melayu, orang Islam. Ada bangsa lain? Warganegara asing? Warga asing takda, totally Malaysia, nampak?” katanya sambil menyertai sekumpulan lain menyorak slogan pro-Palestin.
Ia bagaimanapun dihujani kritikan apabila majoriti pengguna media sosial mempersoalkan naratif McDonald’s menggaji kakitangan Melayu, yang sebelum ini pernah disampaikan oleh eksekutif kanan syarikat itu.
“Dia ni paham tak sebenarnya? Netizen boikot bukan sebab pekerja diorang orang asing ke apa… Sbb HQ McD menyokong israhell…Tu sebab yer,” tulis Tuan MD Zaki di Facebook.
“(Orang) kita tak kita bang, boikot tetap boikot,” kata Azmi Mansor Azmi Mansor.
“Kau tak habis-habis orang kita, orang kita. Korang kat sana ada pilihan untuk kerja lain. Diorang kat sana takda pilihan untuk hidup,” kata Siti Umira Salim Shah.
“Orang di Palestin pun orang Islam macam kita apa. Kita tak mati pun, diorang tak terbilang mati,” jawab Nazipah Abdullah.
Ridzuan Mustafa pula memberikan analogi pekerja Islam dalam industri tidak halal.
“Kalau bangsa Melayu keje kat kedai nombor ekor, so perniagaan tu wajib diperjuangkan?” soalnya.
Mohd Idham Khalid berkata video itu gagal melawan naratif boikot, malah akan hanya menguatkan kempen tersebut.
“Penerangan cara ini akan buat orang bertambah menyampah dan bertambah nak boikot, terutama branch (cawangan) yang ini,” tulisnya.
WhatsApp Image 2023-11-09 at 9.43.41 AM
Cawangan McDonald’s seluruh negara kelihatan agak lengang berbanding sebelum konflik terbaru di Gaza sejak pertengahan Oktober lalu.
Antara hampir 20,000 komen terhadap video itu di Facebook, ada yang menjawab secara sinis, seperti Amy Jamaluddin: “Saya cukup terkesan dengan video ini, oleh itu saya dengan rasa rendah hatinya mengumumkan akan pergi beli Ramly Burger,” tulisnya, merujuk jenama burger tempatan yang popular itu.
Ramai juga yang mendoakan staf McDonald’s yang terkesan dengan kempen boikot itu dapat mencari punca pendapatan lain.
M Zaidi Edira berkata perlu ada “win-win situation”.
“Setuju boikot hak masing-masing, tapi alangkah baik kempen boikot disertakan sekali kempen carikan pekerjaan lain untuk pekerja McD,” tulisnya.
Ams Adam pula mencadangkan kesan kempen boikot itu membuka peluang perniagaan baru.