‘Lelaki botak’ berlegar di Parlimen dalam usaha bawa wakil rakyat Bersatu sokong Anwar
Peralihan sokongan oleh empat ahli Parlimen pembangkang berlaku di sebalik spekulasi pergolakan dalaman kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
(MALAYSIA NOW) – Beberapa ahli Parlimen pembangkang terus didatangi individu tertentu dalam apa yang dipercayai usaha untuk meyakinkan mereka supaya beralih sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, MalaysiaNow boleh dedahkan.
Individu itu, seorang yang digambarkan sebagai “lelaki botak” dalam usia pertengahan dan memperkenalkan dirinya sebagai “Dato”, menyasarkan ahli Parlimen dari Bersatu, di mana empat wakil parti baru-baru ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar sambil kekal sebagai ahli parti.
Ia sebagai memenuhi keperluan undang-undang anti-lompat, yang tidak menghalang hak perlembagaan mereka sebagai ahli Parlimen untuk mengambil pendirian berbeza daripada parti, termasuk dalam undian usul dibawa kerajaan atau sokongan kepada perdana menteri di Dewan Rakyat.
MalaysiaNow difahamkan lelaki yang sama telah bertemu beberapa wakil rakyat di dalam bangunan Parlimen dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Salah satu pertemuan yang dirakamkan menunjukkan lelaki itu dan seorang rakan sedang berbincang sesuatu dengan Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah.
Suhaimi adalah antara beberapa ahli Parlimen yang dihubungi lelaki itu dengan alasan mahu berbincang soal “pelaburan dan rancangan pembangunan” termasuk rancangan mendirikan “hotel butik” di kawasan mereka.
Bagaimanapun, ramai ahli Parlimen berkata perbincangan mereka tidak menyentuh mengenai topik itu, sebaliknya tertumpu kepada soal menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Bila berjumpa, bukan cerita pasal hotel. (Dia kata) ‘sokonglah Anwar, sokonglah PMX,” kata Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin minggu lalu.
Hamzah berkata beberapa ahli Parlimen turut ditawarkan jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkait kerajaan, di samping tawaran untuk melangsaikan hutang peribadi.
Usaha wakil Labuan
Sejak bulan lalu, sekurang-kurangnya empat Ahli Parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar, malah memohon kepada speaker untuk bertukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat bagi mencerminkan pendirian mereka.
Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Difahamkan, Suhaili telah mendekati beberapa ahli Parlimen Bersatu untuk mengikuti langkahnya.
Salah seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
“Wakil dia datang nak berjumpa, tapi saya tak mahu,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ketika dihubungi, Suhaili menafikan beliau dalam usaha mendapatkan lebih ramai rakan parti untuk beralih sokongan: “Tidak betul. Tidak ada, semua tu fitnah.”
Sementara itu, sumber dalam Bersatu menolak andaian bahawa peralihan sokongan empat ahli Parlimen itu kepada Anwar merupakan strategi mendapatkan peruntukan bagi kawasan mereka.
“Kalau ikutkan, itulah yang diharapkan berlaku. Tetapi langsung bukan. Mereka jelas mengkhianati pengundi pada masa sama mahu mengelak pilihan raya kecil di kawasan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.