Agus kata video diolah, Wahab tuding dalang ‘Mr H’ dari J-KOM
(Malaysiakini) – Bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff dan seorang pegawai agensi itu tampil bersama pada sidang media bagi menjelaskan video tular yang didakwa rakaman perbualan mereka.
Agus menafikan terlibat dalam perbualan lucah bersama pegawai tersebut yang dikenali sebagai Wahab.
“Saya ingin katakan bahawa video itu suatu yang doctored, satu yang edited, saya yang diframe,” katanya pada malam ini di Bandar Baru Bangi.
“Video itu edited. Saya pun tak tergamak nak tengok video itu,” jelasnya lagi.
Turut hadir pada sidang media itu ialah para peguam yang mewakili mereka.
Agus juga berkata dia telah membuat laporan polis petang tadi di Kajang dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.
‘Konspirasi Mr H’
“Kita telah belajar bagaimana seseorang itu dijatuhkan dengan tuduhan seksual dan ini berlaku kepada saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Agus turut mengakui bahawa dua individu dalam video tular berkenaan adalah dirinya dan Wahab.
“Dialah yang bersama saya dalam video itu, di sebelah saya, Wahab,” kata Agus.
Sementara itu, Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani (gambar, bawah) mendakwa apa yang berlaku merupakan konspirasi daripada seseorang digelar sebagai Mr H.
“Saya tampil dan saya hadir dalam sidang media malam ini adalah dengan tujuan untuk memberikan penjelasan berkenaan penyebaran rakaman video fitnah yang kononnya merupakan perbualan video lucah Datuk Dr Agus terhadap saya.
“Saya menegaskan bahawa perbualan video tersebut telah diolah dan disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba menjatuhkan reputasi Datuk Dr Agus.
“Komplot untuk menjatuhkan Datuk Dr Agus ini di dalangi oleh individu berjawatan tinggi di dalam J-KOM sendiri, yang saya namakan sebagai Mr H,” katanya.
Menurut Abdul Wahab, atas arahan Mr H dia telah merakam perbualan video dengan Agus tetapi isi perbualannya bukan seperti yang telah diubah suai dan menjadi tular di dunia maya.
“Hakikatnya video yang saya rakam itu, video yang tidak mempunyai audio,” dakwanya.
Abdul Wahab menegaskan tindakannya tampil pada malam ini bukan atas desakan mana-mana pihak sebaliknya dilakukan atas kerelaannya selepas sedar diri dipergunakan individu bergelar Mr H.
Dalam pada itu, Agus berkata dia juga mengenali individu yang disenaraikan Abdul Wahab sebagai terlibat dalam komplot itu namun enggan mendedahkan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Saya kenal nama-nama yang disenaraikan oleh Wahab.
“Tapi saya rasa tidak wajar untuk kita mendedahkan nama-nama mereka yang terlibat sebaliknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan perkara yang perlu,” katanya.
Agus dilantik sebagai ketua pengarah J-Kom pada 2 Feb tahun ini.
Jabatan itu dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) era BN yang sering dikaitkan dengan propaganda kerajaan.
Agus telah mengemukakan peletakan jawatannya semalam (16 Nov) kerana dia telah menerima tawaran kerja baru dan bukan kerana tekanan daripada mana-mana pihak.
Awal hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata dia dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Agus dan jawatan itu akan diisi secepat mungkin.