Syariah dicabar kerana orang Islam hilang kuasa politik
(Harakah) – Kuasa politik terlepas dari tangan orang beriman menjadi punca berlakunya penindasan, pemerkosaan dan kezaliman yang menimpa ke atas umat Islam di seluruh dunia termasuk di Palestin.
Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tanpa kuasa politik, orang Islam juga akan hilang kerajaan dan negara yang beriltizam kepada Islam dan menjadi sandaran membela Islam.
“Maka, orang boleh buat macam-macam kepada umat Islam. Kita tengok di sekitar Palestin, ada negara Mesir, Saudi, Sudan, Jordan, Qatar, Emirate. Semua negara ini dipimpin oleh orang Islam. Hampir seratus peratus umat Islam.
“Jumlah mereka lebih besar daripada orang Israel. Ada seorang penulis menyebut pada tahun 60-an dahulu, kalau semua orang Arab berpakat pergi ke Israel dan masing-masing kencing, Israel akan banjir dan tenggelam. Nak kata betapa kecilnya Israel.
“Tetapi sampai ke hari ini, Israel boleh bermaharajalela, tiada sebarang sekatan dan halangan,” ujarnya pada Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
ADUN Panchor itu mengemukakan kejahatan yang menimpa umat Islam antara lain juga di Bosnia, Kashmir dan Myanmar sejak sekian lama tanpa pembelaan sewajarnya, tetapi kini ada orang Islam sendiri mencabar agama ini.
Menurut beliau, tindakan orang Islam mencabar peruntukan undang-undang Syariah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah kerana kerajaan yang memerintah tiada iltizam kepada Islam itu sendiri.
Sedangkan katanya, sejak kemerdekaan dicapai hingga ke hari ini, pemimpin yang menerajui memerintah kerajaan di negara ini adalah dalam kalangan orang Melayu-Islam sendiri.
“Maka oleh sebab itu, penting kepada kita umat Islam berjuang dan berusaha memastikan adanya sebuah kerajaan, kuasa politik yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan bercita-cita untuk menegakkan Islam.
“Kita menang di empat buah negeri masih belum mencukupi. Kita kena memegang kuasa di Putrajaya dan menjadi kerajaan. Dengan majoriti yang kuat, barulah kita oleh melaksanakan agenda Islam mengikut susunan dan keperluan.
“Ini yang perlu kita ambil perhatian dan memastikan akan berlaku perubahan besar dalam senario politik negara untuk lima tahun yang akan datang,” ujarnya.