‘Saya dah cakap dengan PMX, program hendaklah diteruskan’


(Malaysiakini) – Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberikan lampu hijau supaya acara membincangkan pemikiran Yusuf Al-Qaradawi di ibu negara Ahad ini diteruskan.

“YAB PMX baru sahaja bercakap dengan saya bahawa program hendaklah diteruskan,” katanya menjawab soalan Malaysiakini sebentar tadi.

Asri bagaimanapun berkata dia tidak pasti perkembangan seterusnya dan masih menunggu tindakan penganjur.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan acara Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia, NGO yang dikaitkan dengan Asri, ditangguhkan setelah ahli panelnya gagal mendapat tauliah khas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Asri sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat pertubuhan itu. Bagaimanapun tidak jelas sama ada dia masih memegang jawatan sama.

Berdasarkan poster, dia terlibat dalam acara membincangkan pemikiran ulama besar kontemporari Islam kelahiran Mesir yang meninggal pada September tahun lepas itu.

Gambar Anwar juga dimuatkan dalam poster itu tetapi tidak jelas sama ada dia akan menyertainya atau tidak.

Anwar sendiri amat menghormati Yusuf Al-Qaradawi yang dirujuk sebagai sahabat dan pakar rujuknya dalam isu-isu agama.

 



Comments
Loading...