Nak boikot? Go f**k yourself, Elon Musk serang syarikat hentikan iklan di X atas tuduhan ‘anti Yahudi’
Pemilik Space X, Tesla dan laman X itu membalas ugutan terhadapnya oleh lobi Zionis dan beberapa syarikat besar di Amerika Syarikat.
(Malaysia Now) – Bilionair terkemuka Elon Musk hari ini menyerang syarikat-syarikat yang mengancam menarik balik pengiklanan mereka dalam X (dahulunya Twitter), susulan tuduhan beliau menyokong pandangan anti-Yahudi di platform media sosial miliknya.
Musk ditanya mengenai lawatannya baru-baru ini ke Israel di mana beliau menyatakan pendirian bersimpati dengan regim Zionis itu ketika dibawa melihat sendiri kawasan yang didakwa dimusnahkan tentera Hamas pada 7 Oktober lalu.
Ditanya sama ada lawatan itu sebagai tanda permohonan maaf beliau kepada pengkritik dan pihak yang mengugut untuk memboikot X, Musk membalas: “Go f**k yourself (pergi mampuslah),” katanya pada Sidang Kemuncak Dealbook anjuran akhbar The New York Times, acara tahunan yang kali ini turut memaparkan Bob Iger, Ketua Pegawai Eksekutif Walt Disney yang baru-baru ini mengumumkan untuk berhenti beriklan di X.
“Tak payahlah beriklan. Nak cuba peras ugut saya dengan pengiklanan, ugut saya dengan duit, go f**k yourself,” kata Musk.
Beliau kemudian mengulangi ayat itu, kali ini dengan menyasarkan kepada Iger.
“Go f**k yourself. Jelas tak? Hai Bob, kalau anda hadir sama di sini.”
Pada 15 Nov, Musk yang selama ini cuba bersikap neutral terhadap konflik di Palestin, membalas tweet oleh seorang pengguna X yang menyelar golongan Yahudi kerana cuba menyebar kebencian terhadap orang kulit putih.
Musk bersetuju dengan pandangan itu, dan berkata: “Itu memang kebenaran hakiki”.
Kiriman Musk itu menerima kecaman lobi Yahudi dan Zionis di Amerika Syarikat, yang kini berdepan protes besar-besaran rakyat negara itu yang dilihat semakin menolak naratif Israel di sebalik serangan besar-besaran di Gaza yang mengorbankan lebih 14,000 penduduk Palestin, sebahagian besarnya kanak-kanak.
Susulan serangan lobi Yahudi, Musk berangkat ke Israel di mana beliau ditemani Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melawat apa yang didakwa Israel merupakan sebuah perkampungan Yahudi yang dimusnahkan Hamas.
Musk juga dilaporkan tidak meneruskan hasratnya membekalkan khidmat internet satelit Starlink di Gaza untuk memudahkan komunikasi dalam usaha bantuan kemanusiaan di wilayah itu.
Komen Musk, yang didakwa sebagai “anti-semitik”, dibuat ketika beberapa syarikat gergasi termasuk Apple, IBM dan Coca-Cola bertindak menarik balik pengiklanan di platform X, dengan alasan platform itu dipenuhi komen bersifat “pro-Nazi” dan “anti-semitik”.
Tindakan itu dikatakan akan menyebabkan X, yang dibeli Musk pada harga AS$44 bilion tahun lalu sebelum menggantikan nama Twitter dengan X, kerugian lebih AS$75 juta dari pendapatan pengiklanan.
Sementara itu dalam sesi temu bual yang sama, Musk mengakui tersilap memuat naik komennya yang dianggap “anti semitik”, menyifatkannya antara komen “paling bodoh” dimuat naik beliau di X.
“Bila fikir balik, sepatutnya saya tidak menjawab kepada orang itu sahaja, dan sepatutnya menjelaskan dengan panjang lebar apa yang saya maksudkan,” kata Musk.
“Tetapi penjelasan itu tidak diendahkan oleh media dan pada dasarnya saya memberikan peluru kepada mereka yang membenci saya, dan kepada mereka yang anti semitik. Untuk itu, saya minta maaf kerana itu niat saya.”
Lobi Israel di Barat kerap menuduh pengkritik regim Zionis sebagai anti-semitik, label yang turut pernah dilemparkan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu kerana membidas penindasan Israel ke atas rakyat Palestin.
https://www.malaysianow.com/my/news/2023/11/30/nak-boikot-go-fk-yourself-elon-musk-serang-syarikat-hentikan-iklan-di-x-atas-tuduhan-anti-yahudi