Kehadiran Anwar tidak membantu BN di Kemaman


Ahmad Fahmi Mokhtar, Suara TV

Jarang Perdana Menteri sebelum ini turun berkempen dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana Perdana Menteri yang berwibawa biasanya akan sibuk dengan tugasan negara yang lebih penting berbanding kempen PRK yang tidak akan menjejaskan pentadbiran beliau.

Tetapi lain halnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersusah payah turun berkempen dalam PRK Rabu lepas semata-mata untuk meminta rakyat Kemaman mengundi calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, pada 2 Disember ini.

Dalam ceramah beliau, Anwar menjanjikan bahawa Affandi tidak hanya akan jadi Ahli Parlimen biasa sekiranya menang Sabtu ini kerana beliau akan memberi tugas/jawatan tertentu kepada Affandi supaya hubungan dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri baik.

Apakah kehadiran Anwar memukul pemimpin PAS, memuji Affandi dan UMNO serta menjanjikan tugas/jawatan tertentu kepada Affandi sekiranya menang Sabtu ini akan mampu untuk mempengaruhi pengundi di Kemaman supaya memenangkan Affandi?

Rekod membuktikan Anwar ke hulu ke hilir berkempen untuk memenangkan gabungan BN-PH di Terengganu, Kelantan dan Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos tetapi lagi kuat Anwar berkempen lagi teruk prestasi calon-calon BN-PH di tiga negeri itu. Semua calon Terengganu kalah, hanya dua calon di Kelantan menang dan hanya tiga wakil masih bertahan di Kedah.

Kaji selidik dibuat ke atas pengundi Kemaman oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dari 29 Oktober ke 17 November menunjukkan 62% responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar manakala 63% responden tidak bersetuju dengan kerjasama antara PH dan BN.

Oleh itu, apa sahaja yang Anwar cakapkan tidak akan memberi kesan kepada pengundi Kemaman malahan kepada majoriti rakyat Malaysia juga. Ini dibuktikan oleh pelbagai kaji selidik dan komentar oleh tokoh dan badan berwibawa sempena setahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Paling tersohor ialah dapatan badan kaji selidik bebas, Merdeka Center, dari 4 Oktober ke 24 Oktober yang menunjukkan 60% responden berpendapat bahawa negara sejak dipimpin oleh Anwar berada pada hala tuju yang salah berbanding 31% responden berpendapat di sebaliknya.

Sedangkan, Merdeka Center dalam kaji selidiknya dari 26 Disember 2022 ke 15 Januari 2023 sebelum ini menyebut hanya 29% responden berpendapat bahawa negara berada pada hala tuju yang salah.

Paling melucukan ialah di sebalik gebang-gebang Anwar mengenai usaha memperkenalkan tata kelola baik hanya 37% responden berpuas hati dengan usaha beliau memerangi rasuah manakala hanya 32% responden berpuas hati dengan usaha beliau mewujudkan pertumbuhan ekonomi.

Kolumnis Malaysiakini, P Gunasegaram, memberi markah ‘atah taro’ kepada Anwar, hanya 43 dari 100 markah. Beliau berkata, Anwar bercakap banyak, tetapi tiada hasil untuk ditunjukkan. Markah diberi untuk usaha reformasi hanya 3 dari 10 manakala untuk ekonomi hanya 4 dari 10.

Editor veteran, R Nadeswaran, dalam forum Malaysiakini, pula memberi markah D- kepada Anwar. Beliau juga berkata Anwar hanya pandai bersyarah tetapi syarahannya tidak diterjemah ke dalam tindakan. Paling tidak memuaskan hati, katanya, ialah dalam isu memerangi rasuah.

Penganalisis luar, Dr Bridget Welsh, menyebut dalam satu artikel Anwar hanya pandai bercakap, banyak berjanji, suka beralih dari satu isu ke isu lain, suka berjalan ke luar negara, mengenepikan tugasnya di Kementerian Kewangan dan setiap kata-katanya mengenai rasuah tiada wibawa.

Gareth Leather, penganalisis kanan ekonomi di Capital Economics, sebuah firma jururunding kewangan global berpengkalan di London, turut mengkritik Anwar dengan berkata peluang “amat tipis” untuk melaksanakan pembaharuan dan memulihkan ekonomi di bawah pentadbiran beliau.

Akhbar-akhbar luar negara juga keras mengkritik Anwar selepas setahun beliau menjadi Perdana Menteri. Akhbar South China Morning Post, akhbar Straits Times Singapura, dan lain-lagi lagi semuanya mempersoalkan janji reformasi Anwar baik dalam bidang pentadbiran atau ekonomi.

Anwar dan pengikutnya bagaimanapun bersikap “in denial”, menafikan segala dapatan kajian. Kini Merdeka Center juga telah ditempelak oleh beliau dengan berkata sampel responden Merdeka Center terlalu kecil sedangkan waktu kaji selidiknya mengangkat beliau hal ini tidak timbul.

Setelah Merdeka Center memberi pandangan kritikal kepada Anwar, kini satu lagi badan kaji selidik berwibawa, iaitu Ilham Centre, turut mengkritik dengan lebih keras Anwar. Pengarah Eksekutifnya, Hisomudin Bakar, berkata reformasi mati setelah Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, segala laporan negatif diperam dari tersebar luas. Contohnya ialah berita mengenai jumlah perdagangan negara pada Oktober 2023 meneruskan aliran menurun untuk bulan kelapan berturut-turut sejak Mac 2023 dengan penyusutan 2.4 peratus kepada RM239.5 bilion.

Anwar dalam ceramahnya di Kemaman Rabu lalu sebaliknya tidak berani mengulas berita mengenai jumlah perdagangan negara pada Oktober 2023 meneruskan aliran menurun untuk bulan kelapan berturut-turut sejak Mac 2023 ini tetapi hanya berani mencerca pemimpin PAS.

Berdasarkan tahap ketidakpercayaan dan ketidakpuasan hati tinggi semua pihak yang dinyatakan tadi, baik dari dalam negara dan dari luar negara, malah di Kemaman sendiri, maka terbuktilah bahawa segala cakap banyak Anwar di Kemaman tidak akan mampu membantu calon BN.

Malah, perkara sebaliknya pula boleh berlaku, iaitu kehadiran Anwar yang memang dibenci oleh sejumlah besar pengundi Kemaman akan lebih mendorong mereka untuk keluar beramai-ramai Sabtu ini bagi menyatakan penolakan keras mereka ke atas Anwar dan Kerajaan PH-BN.

Penulis adalah Penyelidik di Jabatan Pengurusan Strategik dan Advokasi Dasar, TSIS



Comments
Loading...