Wahab dakwa gangguan seksual berlaku di Bintulu – KPN
Razarudin berkata, Abdul Wahab mendakwa tampil membuat laporan bagi melindungi diri selain menafikan terlibat di dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Mohammad Agus.
(Sinar Harian) – Polis menyiasat dakwaan kes gangguan seksual melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang dikatakan berlaku di Bintulu, Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan diterima pihaknya oleh pengadu iaitu Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abd Kader Jilani, 33.
“Berdasarkan laporan itu, Abdul Wahab mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel.
“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kes ini dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan.
Pada Khamis, Abdul Wahab hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Abdul Wahab mengakui beliau tertekan dengan apa yang berlaku membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.
Sebelum itu, Razarudin dilaporkan berkata, kertas siasatan berkaitan dakwaan video fitnah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.