Perlembagaan Malaysia tidak menyekat orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri


Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi seorang Perdana Menteri

Perlembagaan Malaysia, pada tahun 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 beserta dengan sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya dan bukannya membawa kepada suatu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Perkara ini dapat dilihat dengan baik sekali dari hakikat di mana Perlembagaan Malaysia tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu dari menjadi seorang Perdana Menteri.

Di Amerika Syarikat, mereka mengambil masa 230 tahun sebelum seorang berkulit hitam dapat menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Saya harap, Malaysia tidak memerlukan 230 tahun untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka perkara ini akan terjadi dalam 100 tahun yang akan datang.

Saya pernah dituduh sebagai kononnya ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia. Perkara ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya kerana dalam keadaan semasa, perkara ini tidak mungkin akan berlaku.

Kita perlu berada dalam situasi di mana sejumlah besar rakyat Malaysia, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, mengimpikan Impian Malaysia dan bukannya impian mono-etnik.

Saya telah berjumpa dengan ramai rakyat Malaysia dalam lawatan saya ke United Kingdom dan saya telah bertanya kepada mereka apa yang mereka fikirkan mengenai masa hadapan Malaysia – sama ada Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia atau adakah Malaysia telah ditakdirkan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.

Kit Siang bersama rakyat Malaysia kaum Cina di Manchester

Ada seorang yang berharap supaya Malaysia mengikuti cara Indonesia dan menjadi sebuah republik.

Saya menasihatinya menentang idea ini dan mencadangkan yang sepatutnya mencipta sejarah dunia sebagai sebuah negara dengan sistem beraja yang menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia, kerana kita amat sesuai untuk memainkan peranan penting ini.

Saya katakan yang sekiranya ada gerakan “republikan” seperti ini di Malaysia, gerakan ini akan dieksploitasi oleh golongan yang ingin menyebarkan pertelingkahan dan polarisasi perkauman dengan menyalahguna isu-isu perkauman dan keagamaan untuk memecah belah rakyat Malaysia.

Saya tidak bersetuju dengan mana-mana gerakan untuk membentuk parti politik mono-etnik dalam negara kerana perkara ini tidak akan menyatukan rakyat Malaysia yang datang dari latar belakang pelbagai etnik, agama, dan budaya.

Hanya Impian Malaysia yang mampu menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kumpulan etnik, bahasa, agama, budaya, atau tamadun.

(Kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang semasa bertemu pelajar Malaysia di Manchester pada hari Rabu, 29 November 2023)

 



Comments
Loading...