SPRM TERPAKSA MENARIK BALIK PERMOHONAN SONGSANG DAN CACAT
KENYATAAN MEDIA
Rosli Dahlan
1. Pada 6.10.2023, SPRM melakukan serbuan salah di pejabat firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (“RDS”). Saya memberitahu pegawai SPRM bahawa tindak laku mereka menyalahi peruntukan s.46 Akta SPRM mereka sendiri.
2. Berita serbuan SPRM diberikan publisiti meluas oleh media massa dalam satu langkah terancang untuk mencipta naratif palsu bahawa RDS sedang disiasat kerana rasuah bertentangan dengan kejayaan Firma RDS dalam usaha pemulihan 1MDB.
3. Pada 7.10.2023, RDS telah membuat kenyataan media bahawa serbuan SPRM adalah menyalahi undang-undang. Ini mendapat sokongan padu daripada Majlis Peguam Malaysia yang turut mengeluarkan kenyataan panjang pada 13.10.2023 mencela tindakan SPRM yang tidak professional tersebut.
4. Pada 11.10.2023, SPRM telah memfailkan permohonan yang kononnya untuk mematuhi peruntukan s.46 Akta SPRM (“Permohonan SPRM”). Permohonan SPRM adalah cacat dalam banyak aspek. Pemfailan permohonan mahkamah itu sendiri merupakan satu pengakuan bahawa serbuan pada 6.10.2023 tersebut adalah salah. Majlis Peguam pula telah memberi notis untuk bertindak sebagai amicus curiae terhadap Permohonan SPRM.
5. Permohonan SPRM telah menamakan saya sebagai Responden Pertama dan RDS sebagai Responden Kedua. Penamaan saya sebagai Responden Pertama adalah berniat jahat, dilakukan untuk mencemarkan nama baik saya dengan menjadikan saya suspek utama penyiasatan rasuah palsu ini.
6. Pada 27.10.2023, saya memfailkan Afidavit Jawapan saya yang menununjukkan banyak kesilapan, pembohongan dan kepalsuan oleh SPRM dan mendedahkan satu konspirasi terancang untuk merosakkan RDS dan memfitnah saya demi mengheret kami ke dalam keaiban dan skandal awam. Saya juga memfailkan permohonan untuk membatalkan Permohonan SPRM.
7. Mahkamah mengarahkan permohonan pembatalan saya untuk didengar terlebih dahulu dan mengarahkan SPRM memfailkan respons mereka pada tarikh tertentu. Mahkamah juga menetapkan tarikh pendengaran pada 17.1.2024. Ini telah menimbulkan kebimbangan kepada SPRM kerana kepalsuan dan siasatan palsu mereka yang digunakan sebagai instrumen penindasan terhadap Firma saya dan saya akan didedahkan semasa pendengaran kes.
8. Pada 4.12.2023, beberapa portal berita melaporkan bahawa SPRM telah memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka ingin menarik balik permohonan mereka terhadap RDS dan saya tanpa memberikan sebarang alasan. Pagi tadi Mahkamah Tinggi meluluskan penarikan balik itu dan membatalkan Permohonan SPRM. Ini dibuat selepas berminggu-minggu saya diaibkan.
9. Dari bermulanya episod ini, saya telah menegaskan bahawa tindakan SPRM terhadap Firma saya dan saya adalah berupa skandal, mengaibkan, remeh, memfitnah, tidak berasas dan songsang. Jelas bahawa SPRM telah memutuskan untuk menarik balik prosiding yang mereka mulakan setelah menyedari ianya merugikan mereka sendiri dan memprejudiskan negara.
10. Semua muslihat penindasan terhadap Firma saya dan saya mesti dihentikan. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk pemulihan kerugian daripada skandal 1MDB. Demi negara tercinta, Kementerian Kewangan dan agensi-agensi Pasukan Petugas Khas (‘Taskforce’) mestilah bersikap
rasional dan tidak menjejaskan kepentingan negara dengan tindakan, kenyataan dan dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh dijadikan modal oleh pihak lawan.
11. Sebagai seorang patriot, saya tetap komited untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian 1MDB dan memadam episod memalukan ini daripada sejarah kewangan negara kita.