‘Anwar PM paling gagal jika tak tunai janji reformasi undang-undang’


(Malaysiakini) – Kumpulan hak asasi manusia, Suaram mengulangi pandangan mereka bahawa Anwar Ibrahim akan dilihat sebagai perdana menteri paling gagal jika reformasi undang-undang tidak berjaya dilakukan.

Suaram menyifatkan kerajaan pimpinan Anwar masih tiada hala tuju jelas dalam usaha memperkenalkan atau meminda undang-undang berkaitan melindungi hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mengulangi kenyataan itu selain turut mengkritik keengganan beberapa menteri kabinet untuk berbincang dengan pemegang taruh yang terlibat dalam dasar dan polisi terutama berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

“Janji nak mansuh (Sosma), tapi tak boleh, kemudian nak pinda, kita sudah beri input tapi kenapa sampai sekarang tiada apa-apa maklum balas?

“Saya fikir, lebih baik Menteri Dalam Negeri (boleh) turun dan berbincang, (kerana) dia seolah-olah mengelak,” kata Sevan.

Ogos lalu, Timbalan Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi Ramkarpal Singh berkata kerajaan tidak berhasrat memansuhkan Sosma yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Namun, katanya, kerajaan berjanji akan menambah baik undang-undang itu dengan memperkenalkan beberapa pindaan secara berperingkat.

Sementara itu, Sevan berkata, selain tidak banyak keterlibatan daripada menteri, dia juga mempersoalkan langkah-langkah kerajaan dalam isu melindungi hak asasi rakyat.

“Anda sudah capai usia setahun, jadi, apa rancangan kerajaan sebenarnya dan berapa lama tempoh diperlukan, ini persoalan utama,” soalnya.

Kata Sevan, berbanding perdana menteri terdahulu, Anwar mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang reformasi institusi.

Menurutnya, Anwar perlu menggerakkan barisan kabinetnya dan menggesa menteri untuk mengambil inisiatif serta lebih proaktif dalam menangani isu-isu semasa yang berlaku.

“Dia (Anwar) tahu apa itu reformasi institusi, dia tahu apa itu menangani korupsi, isu yang berkaitan dengan Sosma, penahanan tanpa bicara, penderaan dalam tahanan.

“Ini semua bukan asing untuk Anwar, dalam soal kepakaran, dia lebih baik dari perdana menteri sebelumnya.

“Anwar tak perlu ke depan untuk semua isu, tapi kena pastikan pasukannya terutama menteri kena bergerak dan buat kerja,” katanya.

Dia turut mengingatkan Anwar tentang janji dan harapan kepada penyokong yang berada di belakang gerakan reformasi selama 20 tahun lalu yang meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.

“Dia tahu beban dan jangkaan terhadapnya tinggi. Setahun telah berlalu, masih ada lagi tiga tahun, jika dia tak berjaya laksanakan, dialah yang paling gagal,” katanya lagi.

Peningkatan hak asasi rakyat masih terhad

Terdahulu, Suaram melancarkan gambaran keseluruhan Laporan Hak Asasi Manusia Malaysia Suaram 2023 di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

Laporan tersebut memetik, walaupun terdapat peningkatan penerimaan oleh pentadbiran semasa untuk berinteraksi dengan masyarakat mengenai isu hak asasi manusia dan komitmen terhadap reformasi undang-undang.

Namun, kemajuan substantif dalam mencipta persekitaran bagi rakyat Malaysia dan kumpulan yang rentan melaksanakan hak-hak mereka dalam bidang sivil dan politik serta untuk hidup tanpa rasa takut dan keganasan, masih terhad.



Comments
Loading...