Sultan Ibrahim mahu HSR dihidupkan semula, lalu Forest City
Menurut rekod syarikat yang diperolehi hari ini, Sultan Ibrahim memiliki 63.8 peratus kepentingan dalam Esplanade Danga 88.
(Malaysiakini) – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dihidupkan semula.
Dalam wawancara dengan The Straits Times Singapura, Sultan Ibrahim juga mahu projek tersebut dapat diselaraskan semula supaya melalui Forest City – projek yang melibatkan kepentingan perniagaan baginda.
Forest City dibangunkan oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd, yang dimiliki bersama oleh Country Garden Waterfront Sdn Bhd (60 peratus) dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd (40 peratus).
Menurut rekod syarikat yang diperolehi hari ini, Sultan Ibrahim memiliki 63.8 peratus kepentingan dalam Esplanade Danga 88.
Sementara itu, Daing A Malek Daing A Rahman, rakan perniagaan yang rapat yang sering dikaitkan dengan kerabat diraja Johor, juga merupakan pengarah dalam Country Garden Pacificview dan memiliki 15.6 peratus kepentingan dalam Esplanade Danga 88.
Projek Forest City berdepan masalah selepas China mengenakan sekatan pelaburan luar pesisir ke atas rakyatnya, dan sering dirujuk sebagai “bandar terbiar” ekoran kadar penghuni yang rendah.
Pada Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Forest City akan dijadikan sebagai zon khas kewangan baru negara.
Anwar berkata langkah itu bertujuan meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekaligus merancakkan sektor ekonomi setempat dan juga kawasan sekitarnya.
HSR pula merupakan projek yang ditangguhkan oleh pentadbiran terdahulu.
Berkenaan projek itu, kerajaan berkata ia terbuka untuk projek itu dihidupkan semula dengan syarat tidak melibatkan pembiayaan awam.
Sebaliknya, ia harus dibiayai oleh sektor swasta.
Cadangan yang sama turut dikongsikan Sultan Ibrahim dalam wawancaranya hari ini.
“Beta akan memastikannya (ia dilaksanakan semula),” titah Sultan Ibrahim, sambil menambah HSR boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta dengan kerajaan membayar pajakan kepada kontraktor untuk mengendalikannya selama 30 tahun, sebelum mengambil alihnya semula.