KOMENTAR | Kita masih mengharapkan Fahmi?
Saya tidak berhasrat menulis panjang untuk topik ini selain daripada memberi fokus ringkas kepada dua perkara: kegagalan kerajaan menyampaikan maklumat sepatutnya kepada rakyat, dan kegagalan menteri menjadi penerang sekali gus mengabaikan tenaga media sosial pendukung kerajaan untuk membantu.
Ibnu Muhammad Falastini, Mkini
Sebelum menulis ini, saya telah melayari media sosial milik kementerian komunikasi dan menterinya. Hampa terasa apabila saya gagal menemui maklumat lengkap mengenai kejayaan kerajaan perpaduan sempena satu tahun pentadbirannya.
Apa yang saya jumpa hanyalah beberapa maklumat tentang inisiatif digital dan hiburan, kemeriahan menteri membeli-belah dan lambakan info dari kementerian lain yang dibuat sambalewa.
Ia adalah maklumat yang dikongsi dari hantaran pihak lain.
Tiada kelihatan inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk kementerian komunikasi bertindak menjadi lidah kerajaan, penyampai maklumat dan penerang yang mampu membuka minda rakyat terhadap kesungguhan kabinet membangunkan negara.
Kerana itu apabila nama Fahmi Fadzil dikekalkan sebagai menteri komunikasi, saya sangat kecewa. Dia seorang menteri level atas yang hanya memberi tumpuan kepada program digital, tidak menunjukkan kesungguhan dan kesanggupan untuk turun ke kampung-kampung menerangkan konsep Malaysia Madani.
Jika Fahmi tidak melakukannya, siapa lagi? Dan sekarang kita masih mengharapkan Fahmi?
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu nampaknya tidak menunjukkan minat untuk mengotorkan tangan bergaul bersama rakyat marhaen untuk memastikan mereka kenal kerajaan ini, faham tindakan kerajaan dan akhirnya tidaklah mereka termakan dakyah sesat lagi menyesatkan daripada pembangkang.
Tak dapat diterima akal
Apalah erti ratusan bilion ringgit pelaburan, pembukaan pejabat urusan pelbagai syarikat besar, kupasan mendalam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang konsep Madani serta pelbagai inisiatif agensi kerajaan jika majoriti rakyat tak tahu dan tidak endah?
Lebih malang, ia berlaku bukanlah dalam keadaan rakyat enggan mengambil tahu, tetapi mereka gagal diberitahu!
Itu belum lagi kita membicarakan kegagalan kerajaan menyekat sebaran fahaman takfiri yang sangat berbahaya di media sosial, serta fitnah yang berleluasa dan dilakukan secara sedar oleh pihak lain kerana mereka yakin ia akan diganjarkan dengan pahala.
Entah faham atau tidak Fahmi akan gejala takfiri, pemikiran melampau dalam beragama, dan pembohongan-pembohongan yang berleluasa dalam kalangan pengamal media sosial.
Kenapa tidak digunakan tenaga-tenaga pengguna media sosial penyokong kerajaan yang ada ribuan orang jumlahnya ini? Kenapa tidak digunakan saluran televisyen dan radio bagi menjelaskan bahaya takfiri dan mengetengahkan asatizah yang fahaman benar agama dalam kalangan pendukung kerajaan?
Tidak dapat diterima akallah jika alasan yang diberikan bahawa tiada seorang pun tokoh agama dalam kerajaan perpaduan yang dikenali oleh Fahmi.
Semasa Gobind Singh Deo menjadi menteri komunikasi beberapa tahun lalu, melantik pegawai khas untuk menyelia program-program agama dalam saluran kerajaan. Pegawai itu telah membina rangkaian yang besar dengan asatizah PH ketika itu.