Barang dijual dalam talian bawah RM500 kena cukai 10 peratus mulai 1 Januari
(Bernama) – Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari 2024, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Malaysia sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April, 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi telah ditangguhkan oleh jabatan kastam pada Mac tahun ini.
Menerusi Soalan Lazim mengenai cukai jualan LVG yang diterbitkan di laman sesawang JKDM pada 6 November 2023, jabatan itu berkata, pengenaan cukai jualan ke atas LVG akan bermula pada 1 Januari 2024, walaupun perundangan cukai jualan ke atas LVG telah berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2023.
JKDM mentakrifkan LVG sebagai semua barangan — tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok — yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.
Mereka yang menjual LVG di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian LVG mesti mendaftar dengan JKDM jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Secara berasingan, JKDM turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan LVG di portalnya bertarikh 3 November 2023.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang JKDM di http://www.customs.gov.my/en/pages/main.aspx.
Sementara itu, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 8 Disember 2023, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022: Penetapan Tarikh Efektif Bagi Mengenakan dan Melevikan Jualan Cukai Barang Bernilai Rendah (LVG) pada 4 Disember 2023.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 1(3) Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 [AktaA1671], Menteri menetapkan 1 Januari 2024 sebagai tarikh efektif bagi mengenakan dan melevikan cukai jualan bagi barang bernilai rendah,” demikian menurut warta tersebut.