Hak asasi: Anwar gagal besar, khianati janji reformasi – HRW
(Malaysiakini) – Pemerhati Hak Asasi Manusia atau Human Rights Watch (HRW) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya untuk komited kepada “agenda menghormati hak” dengan bertindak mengikut janji reformasinya.
Ini susulan Laporan Dunia HRW 2024 yang dilancarkan hari ini, yang mendapati Anwar “sebahagian besarnya gagal” untuk menunaikan janji reformasinya pada tahun pertamanya sebagai perdana menteri.
Sambil mengakui Putrajaya telah mengambil beberapa langkah pembaharuan yang positif, penyelidik HRW Asia, Shayna Bauchner berkata perdana menteri telah mengkhianati banyak janji lain yang dibuatnya kepada pengundi demi memastikan kerajaan campurannya itu tidak tumbang.
“Dalam tahun pertama memegang jawatan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengkhianati janji pembaharuan yang dibuatnya kepada pengundi Malaysia supaya kerajaan gabungannya bertahan.
“Kerajaan harus komited semula kepada agenda menghormati hak dengan mengubah janji semasa kempennya menjadi kenyataan,” kata Bauchner pada satu kenyataan akhbar bersama lampiran laporan itu.
Laporan itu, yang mengkaji amalan hak asasi manusia di lebih 100 negara, memetik beberapa insiden tahun lalu untuk membuktikan reformasi “terhenti” semasa pentadbiran Anwar.
Ini termasuk pertuduhan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada Julai lalu yang didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya yang membabitkan Sultan Selangor, dengan Anwar mempertahankan penggunaan undang-undang itu sebagai “tidak dapat dielakkan” dalam perkara berkaitan raja-raja.
Contoh lain termasuk penahanan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin pada September lalu berhubung video TikTok yang dia didakwa mengkritik perdana menteri; penutupan beberapa portal berita dalam talian untuk menapis ucapan kritis; dan pengharaman filem ‘Mentega Terbang’ di bawah Akta Penapisan Filem.
“Kerajaan gagal melaksanakan komitmen untuk memansuhkan atau meminda undang-undang yang menindas itu, termasuk Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, yang terus digunakan untuk menjenayahkan kebebasan bersuara.
“Pihak kawal selia iaiyu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat akses ke atas portal berita dalam talian untuk menapis ucapan kritis, dengan alasan menangani ‘penyebaran maklumat palsu, kandungan yang menyinggung perasaan dan fitnah’,” katanya.
Menurut laporan itu, kerajaan hari ini terus menafikan akses Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) ke pusat tahanan imigresen tahun lalu.
Keengganan berterusan Malaysia untuk memberikan status sah kepada pelarian juga menyebabkan kumpulan itu tidak dapat bekerja secara sah atau mendaftar di sekolah kerajaan.
Juga tiada kemajuan lanjut diumumkan mengenai rancangan kerajaan untuk membebaskan kanak-kanak daripada pusat tahanan imigresen walaupun kenyataan telah dibuat oleh Menteri Dalam Negeri pada Feb dan April, dakwanya.
“Dari Januari hingga Mei, pihak berkuasa menghantar pulang lebih 18,000 pendatang tanpa izin dan pencari suaka dari pusat tahanan imigresen, menurut kerajaan.
“Pada Januari, pihak berkuasa telah menghantar pulang 114 warga Myanmar, termasuk kanak-kanak, tanpa memberi mereka peluang untuk memfailkan tuntutan suaka – suatu pelanggaran yang nyata terhadap larangan undang-undang antarabangsa, dan memaksa pelarian pulang ke negara sedangkan kehidupan atau kebebasan mereka akan terancam.”
Diskriminasi yang ditaja negara terhadap komuniti LGBT juga berterusan, menurut HRW, termasuk pembiayaan amalan penukaran agama.
Organisasi itu menegaskan bahawa Anwar telah menolak idea bahawa golongan LGBT akan diiktiraf dan dilindungi di bawah kerajaannya, yang juga telah mengeluarkan larangan ke atas semua produk Swatch dengan penjenamaan LGBT dan merampas jam tangan dari kedai pada Mei.
“Kabinet mengumumkan pada Feb mengenai rancangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu dan bapa warganegara Malaysia.
“Bagaimanapun, pindaan kewarganegaraan itu juga mengandungi peruntukan yang akan mengekalkan kanak-kanak tanpa kerakyatan. Pada masa artikel ini ditulis, pindaan itu telah dibincangkan dalam kabinet dan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja.”
Pada masa yang sama, badan hak asasi manusia itu turut memuji pentadbiran Anwar atas kejayaannya memansuhkan hukuman mati mandatori melalui Parlimen.
“Pemansuhan Akta Hukuman Mati Mandatori 2023, yang berkuat kuasa pada Julai, memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 12 kesalahan dan menghapuskan hukuman mati sebagai pilihan untuk tujuh kesalahan.
“Bagaimanapun, undang-undang baharu itu mengekalkan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sabitan paling biasa bagi banduan hukuman mati,” kata laporan itu.