MENGURANGKAN RASUAH
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
1. PMX berkata ia akan lawan rasuah tanpa mengambil kira siapa yang terlibat. Tun Tun juga tidak akan dikecuali.
2. Saya ucap tahniah kepada PMX kerana ia sudah berjaya mengurangkan rasuah di Malaysia.
3. Yang pertama rasuah dikurangkan dengan menghenti dakwaan terhadap ke semua 47 kes Timbalan Perdana Menteri dalam mahkamah. Dengan ini 47 kes rasuah dikurangkan.
4. Rasuah dikurang lagi apabila statutory deklarasi Datuk Abdul Murad Khalid bahawa Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan (No further action). (Dengan ini RM3 bilion diselamatkan).
5. Beberapa wakil rakyat parti pembangkang mengisytihar mereka sokong Anwar kerana dakwaan sokongan dibuat untuk dapat peruntukan wang dari Kerajaan. Ini tidak dianggap sebagai rasuah. Sekali lagi rasuah dikurangkan.
6. Demikian juga rasuah dikurangkan apabila tindakan Ketua SPRM memiliki bermillion saham tidak dianggap sebagai rasuah kerana adik ketua guna akaun ketua.
7. Ramai nama orang tertentu terdapat dalam Pandora Papers tidak diselidik sama ada terlibat dengan rasuah atau tidak juga mengurang rasuah di Malaysia.
8. Sesungguhnya rasuah di Malaysia sudah dikurangkan. Ini adalah kejayaan Kerajaan PMX.
9. Sebaliknya Kerajaan PMX sedang siasat Tun Tun yang memiliki kekayaan atau dituduh tanpa bukti memiliki kekayaan.
10. Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari.
11. Mereka gagal kerana tidak dapat resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun. Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak. Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM.
12. Sebagai Kerajaan yang pegang kepada “Rule of Law” pemerintahan mengikut undang-undang, mereka boleh dipenjara lima (5) tahun dan denda RM100,000.
13. Untuk menentu kesalahan bukti tidak penting. Tuduhan oleh PMX cukup.
14. Demikianlah bertanggungjawabnya SPRM.
15. Apabila Tun Tun masuk penjara maka berjayalah Kerajaan PMX melawan rasuah.