“Tukar PM Setiap Tahun Tak Jamin Apa-apa, Akibatnya Rakyat Menderita” – Agong


Al-Sultan Abdullah juga pada masa sama turut bertitah bahawa baginda sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen.

(Buzzkini) – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya institusi YDPA terus dipertahan dan dipelihara pada setiap masa.

Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung terakhir kesejahteraan rakyat

Al-Sultan Abdullah juga bertitah, istitusi YDPA juga adalah pelindung terakhir kepada kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

“Maka tatanglah institusi ini bagai minyak penuh. Martabatkan institusi ini dan jangan sekali-kali mencemari ia dengan nista dan dusta,” titah baginda dipetik Harian Metro.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang diadakan semalam (28 Januari).

Baginda bakal menamatkan tempoh pemerintahan sebagai YDPA ke-16 pada 30 Januari 2024.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta berisan Jemaah Menteri turut hadir.

Al-Sultan Abdullah dikurniakan keafiatan memerintah negara bersama 4 PM

Al-Sultan Abdullah bertitah, mengenang kembali sepanjang tempoh pemerintahannya, baginda telah dikurniakan keafiatan untuk memerintah negara bersama empat Perdana Menteri.

“Insya-Allah, jika tiada aral atau ‘langkah-langkah lain’ dalam dua hari akan datang, beta akan tamatkan pemerintahan bersama YAB Anwar.

“Tidak pernah terlintas di fikiran beta memikul tugas berat melantik tiga Perdana Menteri dan membawa negara keluar dari situasi ketidaktentuan,” titah baginda lagi.

Ubah sesuatu perkara untuk agenda politik tidak untungkan sesiapa

Al-Sultan Abdullah juga pada masa sama turut bertitah bahawa baginda sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen.

Titah baginda lagi, mengubah sesuatu perkara semata-mata kerana agenda politik tidak akan menguntungkan sesiapa.

“Kita tidak melakukan perubahan hanya sekadar untuk melakukan perubahan. Menukar Perdana Menteri setiap tahun juga tidak menjamin apa-apa. Akibatnya, rakyat menderita, ekonomi merudum sehingga negara tidak stabil,” titah Seri Paduka.

 



Comments
Loading...