‘…saya taubat, saya teruja keputusan Lembaga Pengampunan’ – Tony Pua sindir Pemuda UMNO


(Berita Harian) – Bekas setiausaha publisiti DAP, Tony Pua hari ini buat kenyataan balas menyindir tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu membuat laporan polis susulan dirinya yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Oooh, Ketua Pemuda UMNO mahu laporan polis terhadap Pua yang ‘biadap’. Saya ingat perbuatan laporan polis terhadap saya sudah tiada pada saya, dan isteri saya kecewa, jadi lebih baik saya bertaubat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meneruskan sindiran itu, Pua seterusnya menyebut dalam kenyataan itu bahawa dirinya teruja keputusan Lembaga Pengampunan memberi 50 peratus pengurangan tempoh hukuman penjara serta pengurangan denda sebanyak 74 peratus daripada RM210 juta ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya juga berbesar hati mendengar bahawa untuk penahanan tambahan selama setahun atas keredaan Baginda (Yang di-Pertuan Agong), anda akan terus berjimat sebanyak RM50 juta.

“Saya pasti bahawa anda akan bersusah payah menggunakan semua simpanan yang diperoleh untuk membantu semua anak yatim dan fakir miskin, seperti yang telah anda lakukan pada sebelum ini.

“Saya faham bahawa jika anda menunjukkan ‘kelakuan baik’, anda akan mendapat diskaun yang lebih besar. Kami boleh nantikan anda berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2027.

“Saya juga faham bahawa isteri tersayang anda mungkin akan menyertai anda (hukuman penjara) selama beberapa tahun untuk menemani anda,” katanya.

Tambah Tony, beliau tidak bimbang terhadap kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi oleh Najib Razak kerana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mendapat keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh pihak mahkamah.

“Dalam situasi kes terburuk, kita boleh meminta lebih banyak diskaun. Alangkah gembiranya. Kita semua menanti. Tunggu di situ!,” katanya.

Tony Pua harap dapat pengampunan Pemuda UMNO

Sementara itu, Tony berharap dengan kenyataan penuh penyesalan berkenaan, beliau akan mendapat pengampunan daripada pihak Pemuda UMNO dan sekali lagi terhindar dari perjalanan ke Bukit Aman (disiasat polis).

“Saya pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai beberapa perkara yang lebih baik untuk dilakukan,” katanya.

Semalam, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO umum akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap Tony yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah laporan polis terhadap Tony Pua akan dilakukan seluruh negara oleh Pemuda UMNO atas kebiadapan dia mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jumpa di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

 



Comments
Loading...