Laksana ‘reformasi 100%’ sekarang atau rakyat turun ke jalanan, kata Bersih


Rakyat kecewa dan marah berhubung perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi di negara ini, kata pertubuhan masyarakat sivil itu.

(FMT) – Bersih menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi yang dijanjikan sebelum menjadi kerajaan atau bersedia berdepan demonstrasi jalanan.

Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, rakyat kecewa dan marah berikutan perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi di negara ini, yang indah khabar dari rupa.

Tambahnya, “anugerah” pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap golongan elit politik, serta yang terbaru, pengurangan hukuman Najib Razak “menyemarakkan api kemarahan rakyat”.

“Ditambah pula dengan kegagalan pihak kerajaan untuk bersikap telus mengenai saranan yang diajukan kepada Lembaga Pengampunan, hal ini menunjukkan bahawa hak rakyat untuk mengetahui perkara sebenar tidak dihormati.

“Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa janji dan komitmen reformasi termasuk untuk membanteras rasuah dan pelakunya tidak lebih hanya sekadar menjadi halwa telinga semata-mata,” katanya pada sidang media di pejabat Bersih hari ini.

Beliau berkata, perkembangan ini menjadi isyarat kepada rakyat agar tidak lagi berdiam diri membiarkan agenda reformasi institusi dan politik negara tersasar.

Faisal merujuk kepada reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini termasuk pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya serta mengangkat martabat Parlimen sebagai institusi bebas.

“Justeru, Bersih bersama rakan-rakan pertubuhan masyarakat sivil, gerakan anak muda dan mahasiswa akan menggerakkan semula rakyat dan akar umbi untuk memberikan penerangan tentang perkembangan agenda reformasi ini menerusi beberapa tindakan dan aksi dalam masa ke hadapan.

“Bersih tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat turun semula ke jalanan sebagai bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang sedang enak diulit kekuasaan tanpa menghiraukan harapan rakyat menerusi pelbagai dalih untuk tidak bersama mendukung agenda reformasi,” katanya.

“Hari ini permulaan suara rakyat desak reformasi 100%, aksi awal kempen pastikan tekanan diberikan rakyat kepada kerajaan dan ahli politik supaya menunaikan janji politik … Bila tiba masanya kita akan turun ke jalanan jika suara rakyat mendukung reformasi 100% ini tidak dapat ditunaikan,” katanya.

Bersih menganjurkan demonstrasi jalanan sejak 2007 sebagai protes terhadap penyelewengan pilihan raya dan untuk menuntut pilihan raya adil. Pada 2015 dan 2016, Bersih turut mengadakan demonstrasi berhubung skandal 1MDB.



Comments
Loading...