PAS tunjuk sikap ‘big brother’?
Dalam mengejar kerjasama Umno hidupkan semula MN, persetujuan Bersatu diabaikan PAS.
(FMT) – Cadangan Hashim Jasin memujuk Umno untuk bersetuju bekerjasama menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) nampaknya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada menawarkan jawaban. Sekali imbas, ia dilihat sebagai inisiatif sendiri oleh mursyidul am PAS itu tanpa dibincangkan secara menyeluruh.
Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris semalam bahawa cadangan itu mesti diputuskan di peringkat majlis pimpinan tertinggi kedua-dua parti — PAS dan Bersatu — dan juga Perikatan Nasional (PN) harus menimbulkan kehairanan kerana PAS memilih untuk mengetepikan sekutunya itu dalam agenda sebesar ini.
Seperti dijelaskan Razali, ia tidak pernah dibincangkan di samping Bersatu belum menerima apa-apa cadangan atau undangan untuk bekerjasama walhal ini hal dasar yang mesti diputuskan bersama. Kebetulan, Hashim pada Jumaat lalu menegaskan bahawa kerjasama itu perlu membabitkan Bersatu, rakan PAS dalam PN yang menjadi halangan terbesar Umno.
Malah, ketika mula mencadangkan agar MN dihidupkan kembali pada 14 Feb lalu susulan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam sejak akhir-akhir ini, Umno dituntutnya supaya melupakan persengketaan sesama mereka dengan menjadikan matlamat penyatuan ummah sebagai agenda utama melebihi kepentingan politik parti masing-masing.
“Umno kena pertimbang semula soal perpaduan Melayu Islam kerana Bersatu masih boleh merendahkan ego mereka dan bersetuju menerima Umno demi perpaduan ummah,” katanya.
Tapi kenyataan terbaru Razali itu tentunya menimbulkan persoalan kerana pandangan Bersatu langsung tidak dirujuk. Apakah pada Hashim, pendirian Bersatu sebagai ‘rakan kongsi’ tidak penting dan parti itu harus menurutkan saja ketetapan PAS? Atau PAS kini kembali kepada sikap ‘abang besar’ dalam gabungan PN atas pertimbangan ia parti terbesar di Dewan Rakyat dengan memenangi 43 kerusi pada PRU15?
Ini sebenarnya bertentangan dengan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa PAS bukan ‘abang besar’ dalam gabungan itu. “Kita tidak panggil parti itu ‘abang besar’ atau ‘abang kecil’. Saya Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, yang disokong oleh PAS. Tidak kisah siapa yang memimpin asalkan mempunyai azam dan perjuangan yang sama di dalam PN,” katanya pada 24 Jun 2023 menjelang PRN enam negeri pada Ogos tahun lalu.
Hujahnya itu diperkuatkan oleh kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan PAS Pusat Sanusi Md Nor pada 12 Julai 2023 bahawa tiada istilah ‘abang besar’ dalam PN kerana parti komponen yang menganggotai gabungan itu sama rata.
“Saya rasa yang tualah abang iaitu PAS berusia 51 tahun. Bersatu berpecah dengan Umno, jadi dia adiklah kalau soalannya bermaksud macam itu. Tetapi dalam PN ini, kita adalah ‘equal partner’ (rakan kongsi sama rata). Tidak ada abang, tidak ada adik,” katanya ketika menjadi tetamu program bual bicara Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Ia mengembalikan persoalan kepada tindakan unilateral Hashim, yang menyerupai tindakan PAS pada 13 Okt 2022 yang memuktamadkan untuk bersama Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15 yang membawa maksud MN yang piagamnya ditandatangani bersama Umno pada 14 Sept 2019 dianggap sudah berkubur.
Tindakannya itu juga dilihat bertentangan dengan kesantunan yang menjadi keutamaannya ketika pernah menegur Muhyiddin dan Sanusi sebelum ini. Pada 25 Sep 2022, Hashim mengingatkan Muhyiddin supaya lebih cermat mengeluarkan kenyataan mengenai Barisan Nasional (BN) yang dikatakannya sebagai musuh utama yang perlu dilawan dalam PRU15 – berlawanan dengan pendirian parti itu bahawa musuh mereka adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya.
Selanjutnya pada 14 Julai 2023, Hashim menegur Sanusi agar menjaga percakapan ketika di pentas politik untuk mengelak daripada mencetuskan kontroversi yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R). Ia berkaitan ceramahnya yang didakwa menghina Sultan Selangor ketika membandingkan pelantikan beliau sebagai menteri besar Kedah dan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
Namun, kenyataan terbaru Razali itu mengenai tiadanya perbincangan dengan Bersatu dalam usaha menghidupkan kembali MN bersama Umno harus menyedarkan Hashim terhadap batas-batas kesantunan dalam mencapai kata sepakat agar tiada pihak berkecil hati atau berasa dipinggirkan.
Apa pun, luka di hati Umno apabila PAS memilih menyertai PN yang dibantah keras Umno sebelumnya kerana ia melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha ‘membunuhnya’, tidak akan sembuh dengan cepat. Andai sudah sembuh selepas dua tahun sekalipun, parutnya tidak mudah dihilangkan untuk sebarang kerjasama menghidupkan kembali MN tidak semudah memperkatakannya.
Jika boleh disimpulkan bahawa tindakan bersendirian Hashim dan PAS mengetepikan Bersatu dalam ikhtiar menyambung hayat MN, harus Umno akan mengandaikan PAS akan lebih ke hadapan sebagai ‘big brother’ jika kata sepakat mampu dicapai untuk kedua-dua parti itu bekerjasama kembali.
Mungkin tidak silap untuk Umno melihat tiada apa-apa manfaat kepadanya bekerjasama dengan PAS yang didakwa pernah menikamnya dari belakang, berbanding tuntutan yang lebih mendesak untuk ia memperkukuhkan kerajaan perpaduan pada waktu ini.