Daim, keluarga gagal dapatkan kebenaran cabar siasatan SPRM


(Malaysiakini) – Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan keluarganya gagal mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meneruskan semakan kehakiman mereka terhadap siasatan SPRM ke atas mereka.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh petang tadi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut. Dengan keputusan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak lagi akan meneruskan perbicaraan mengenai merit tindakan undang-undang tersebut.

Antara relif yang dimohon dalam tindakan undang-undang itu adalah untuk membatalkan pertuduhan jenayah tidak mengisytiharkan aset oleh Daim dan isterinya Na’imah Abdul Khalid.

Farid memutuskan bahawa pemohon gagal menunjukkan bahawa terdapat mala fide (niat jahat) dalam siasatan SPRM terhadap mereka, dengan menyatakan bahawa hanya syak wasangka mala fide tidak memadai.

Hakim berkata, Daim dan Na’imah hanya perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (jenayah) untuk mencabar pertuduhan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Mereka memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Katanya, pegangan saham cairnya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

 



Comments
Loading...