Pengasas KK Mart mengadap Agong mohon maaf kepada baginda, umat Islam


Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart), Datuk Seri Dr Chai Kee Kan memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

(Malaysia Gazette) – Sultan Ibrahim telah memberi perkenan untuk menerima Chai mengadap dan menzahirkan permohonan ampun dan maaf tersebut di Istana Negara hari ini.

“Sesi mengadap Seri Paduka Baginda berlangsung selama 15 minit di Istana Negara, hari ini.

“Pada sesi mengadap itu Dr. Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu,” lapor Royal Press Office.

Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Baginda turut menekankan supaya tidak ada lagi mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.

Yang di-Pertuan Agong turut bertegas agar isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dihentikan serta-merta.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.



Comments
Loading...