‘Pastikan terlebih dahulu wujudnya Titah Adendum’ – peguam
Kewujudan Titah Adendum yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Razak perlu disahkan terlebih dahulu.
(Berita Harian) – Peguam kanan, Datuk M Reza Hassan, menegaskan bahawa adalah penting untuk memastikan kewujudan adendum berkenaan kerana ia membabitkan titah Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, sekiranya wujud, pihak-pihak kemudian perlu memastikan bahawa adendum itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jika ia adalah titah Yang di-Pertuan Agong, maka perintah itu perlu dipatuhi dan dilaksanakan.
“Harus diingat, bahawa keengganan mana-mana pihak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman,” katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Timbalan Perdana Menteri itu, menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.
Sementara itu, peguam, Kitson Foong berkata, Seksyen 43 Akta Penjara 1995(Akta 537) dan Peraturan 111 dalam Peraturan-Peraturan Penjara 2000 memperuntukkan seseorang boleh dikenakan tahanan rumah di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Katanya, bagaimanapun di bawah program PBSL banduan-banduan yang dibenarkan untuk menjalani tahanan rumah adalah membabitkan pesalah kesalahan kecil iaitu golongan yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan ke bawah.
“Namun, kesalahan pertuduhan pengubahan wang haram atau pecah amanah membabitkan jutaan Ringgit, bukanlah satu kesalahan kecil.
“Oleh itu, sama ada Najib boleh dikenakan tahanan rumah adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan, namun peruntukan itu ada dalam undang-undang,” katanya.
Kitson berkata, Seksyen 3 Akta Penjara turut menyatakan bahawa menteri juga mempunyai kuasa untuk mewartakan mana-mana rumah sebagai penjara.
Katanya, di bawah seksyen itu, menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat mana-mana bahagiannya, sebagai satu penjara bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah.
“Bagaimanapun, penggubalan Seksyen 3 adalah bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan dalam penjara dan bukan untuk menukar mana-mana rumah sebagai penjara bagi membolehkan seseorang menjalani tahanan di rumah,” katanya.
Najib, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu,
Bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.
Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.
Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.