BERSATU serah notis kosongkan kerusi kepada 7 wakil rakyat selepas PRK KKB
BERSATU akan menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perdana Menteri selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
“Arahan itu saya terima daripada MPT dan selepas sahaja PRK Kuala Kubu Bharu, kita akan segera melaksanakan mesyuarat ini.
“Sehari selepas mesyuarat itu kita akan serah notis kepada enam ahli Parlimen dan seorang ADUN yang menyokong kerajaan.
“Sepatutnya mesyuarat ini akan kita adakan dalam masa terdekat namun terpaksa fokus pada PRK dahulu,” katanya ditemui media dalam Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok.
Menurutnya, tindakan itu bukanlah hanya untuk mereka (enam ahli Parlimen dan seorang ADUN), sebaliknya ia ada peringatan dan pengajaran kepada kesemua wakil rakyat BERSATU.
Enam ahli Parlimen yang menyokong kerajaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Seorang lagi yang terbabit adalah ADUN Selat, Kelang Datuk Abdul Rashid Asari.
Dalam pada itu beliau menyifatkan enam ahli Parlimen yang mengambil mudah tindakan yang bakal dikenakan sebagai permainan psikologi terhadap diri mereka sendiri.
“Tak perlu komen tindakan mereka itu, kalau dah kena esok baru dia tahu.
“Biarkan tindakan dia psiko diri sendiri sebab nak melegakan diri sendiri,” katanya.