Permohonan Guan Eng, isteri batal tuduhan rasuah ditolak mahkamah


Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, untuk membatalkan pertuduhan rasuah dihadapi mereka membabitkan projek asrama bernilai RM11.6 juta.

(Berita Harian) – Pesuruhjaya Kehakiman, Rofiah Mohamad, berkata berikutan itu perbicaraan kes tersebut akan diteruskan memandangkan ada perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku melibatkan individu berbeza.

“Dalam penelitian mahkamah, walaupun setelah 25 saksi telah dipanggil, namun tiada sebarang dapatan oleh mahkamah berdasarkan keterangan saksi tersebut atau terdapat fakta terbukti melalui perbicaraan tersebut.

“Pada masa yang sama, kalau pun dikatakan budi bicara sebagai tidak mutlak bagi mencabar keputusan dibuat oleh AG (Peguam Negara) harus dibuat melalui penilaian semula kehakiman bukan permohonan di sini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes.



Comments
Loading...