Undi PH lebih teruk merosot berbanding PN – Azmin Ali


Perikatan Nasional (PN) mendakwa meskipun Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, jumlah undi diperoleh calon daripada Kerajaan Perpaduan, merosot.

(Berita Harian) – Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata gabungan itu tidak terkesan dengan penurunan undi biarpun gagal merampas kerusi berkenaan.

“Dahulu kita dapat 10,743 undi dan hari ini kita memperoleh 10,115 undi, sekali gus menyaksikan penurunan hanya 628 undi.

“Di PRK Kuala Kubu Bharu, kita bukan sahaja berdepan dengan PH tetapi kita berdepan dengan dua kerajaan yang mana banyak laporan dan aduan sudah dibuat iaitu menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi menabur janji projek dan sebagainya.

“Tetapi dengan keputusan malam ini, kedudukan kita masih kuat dan tidak terkesan berikutan hanya penurunan 628 undi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Batang Kali di sini, malam ini.

Mohamed Azmin berkata, peratusan keluar mengundi menunjukkan penurunan daripada 69 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding PRK kali ini, 61 peratus.

Bagaimanapun, kataya, penurunan sokongan itu kecil berbanding penurunan peratusan keluar mengundi.

“Kalau kita tengok lokaliti mengikut saluran satu hingga tiga yang terdiri daripada pengundi lama, ia meningkat pada PRK kali ini, memihak kepada PN,” katanya.

Beliau berkata, PRK ini memberi kelebihan kepada PN dengan ia berjaya menarik sokongan warga emas, hasil dasar dan program PN.

“Maka mereka (saluran 1-3) memberi undi kepada PN dan ia menunjukkan terdapat peningkatan.

“Namun saluran empat hingga enam itu berlaku sedikit penurunan. Ia tidak beralih ke PH sebab mereka pun berlaku penurunan yang lebih besar daripada PN.

“Ini kerana faktor penurunan peratusan mengundi yang mungkin disebabkan faktor kerja, cuaca dan sebagainya kerana kadang-kadang anak muda memilih mengundi pada waktu petang. Tetapi ia tidak menjejaskan sokongan kepada PN,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai peratusan keluar mengundi dalam kalangan Orang Asli, katanya, undi kelompok itu memihak kepada PH, namun ia hanya membabitkan 400 undi.

“(Undi) Orang Asli walaupun kita menang di pusat daerah mengundi (PDM) Pertak pada PRN lalu, di PRK PH menang, tetapi saya kira itu terlalu kecil kerana hanya 400 pengundi.

“Namun secara keseluruhan ia tidak menjejaskan prestasi PN kerana jumlah di PDM Pertak itu hanya 413,” katanya.



Comments
Loading...