Tiada sengketa BERSATU Perlis dan pentadbiran MB


BERSATU Perlis menegaskan tiada sengketa antara parti itu dengan kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan menteri besar dan anaknya.

(Berita Harian) – Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata PN Perlis yang ditunjangi PAS dan BERSATU sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan pentadbiran kerajaan negeri.

“Oleh itu pandangan dan percanggahan pendapat yang ada tidak menggambarkan kita (BERSATU) tidak serasi sebaliknya ia hanyalah pandangan peribadi semata-mata,” katanya semalam.

Abu Bakar berkata, pihaknya menyangkal dakwaan yang tular di media sosial bahawa beliau dalang kepada siasatan SPRM terhadap Menteri Besar serta anaknya baru-baru ini.

“Apabila ada satu cerita berkaitan dengan pengakuan bahawa (saya) membuat laporan kepada SPRM, saya sudah membuat laporan polis menyangkal dakwaan itu sekeras-kerasnya kerana itu bukan pelan kita (PN),” katanya.

Terdahulu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis mengetuai lima ADUN termasuk tiga EXCO Perlis dari Bersatu menandatangani arahan bertulis yang berupa surat akujanji taat setia kepada BERSATU.

Perkara berkenaan dilakukan selepas enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini diberi tempoh 14 hari untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan MPT.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam BERSATU terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, BERSATU Perlis yang bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan di DUN Titi Tinggi, Pauh, Tambun Tulang, Sena dan Kuala Perlis.



Comments
Loading...