Ku Li tahu Umno ‘tenggelam’ PRU16, dakwa pemimpin PAS


AJK PAS Pusat Awang Hashim berkata seruan Ku Li untuk partinya dan Bersatu di bawah Umno dianggap ‘sangat ketinggalan zaman’.

(FMT) – Seorang pemimpin PAS mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah tahu Umno akan ‘tenggelam’ dalam pilihan raya akan datang, menyebabkan veteran politik itu membuat seruan supaya orang Melayu termasuk ahli Bersatu dan PAS, kembali ‘menyatu’ di bawah payung parti itu.

“Dia nampak Umno akan hilang, kerusi yang ada sekarang pun akan hilang dalam PRU16, orang Melayu akan terus tolak Umno sebab tu dia kata orang Melayu kena bersatu bawah Umno,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Awang Hashim kepada FMT.

Tengku Razaleigh atau Ku Li dalam temu bual eksklusif dengan FMT baru-baru ini mendakwa perpecahan membawa kepada penubuhan pelbagai parti ketika ini telah melemahkan pengaruh politik kolektif orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Umno mengajak orang Melayu kembali ke pangkuannya serta ahli parti politik serpihan seperti Bersatu dan PAS bersama dengannya semula.

Ku Li berkata Bersatu dan PAS hanya mendapat sokongan besar pengundi Melayu hari ini disebabkan rasa tidak puas hati terhadap ketidakupayaan Umno berpegang kepada prinsipnya.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata seruan Ku Li ‘sangat ketinggalan zaman’ dan beliau perlu sedar Umno kini bukan parti dominan seperti suatu masa dahulu.

“Untuk Melayu duduk di bawah Umno, itu sangat ketinggalan zaman… dia masih terikat dengan tradisi semasa Umno sangat dominan dalam politik negara.

“Sekarang anak muda lihat Umno penuh dengan zaman ‘koyak rabak’… orang Melayu dah beralih daripada Umno, tak percaya kepadanya, macam mana nak balik semula kepada Umno?,” soalnya.

Beliau turut menolak andaian orang Melayu menyokong PN kerana ‘kerosakan’ Umno sebaliknya pengaruh dan sokongan kuat yang diterima PAS-Bersatu ketika ini hasil daripada rekod pemerintahan PN selepas PRU14.

“Berlaku peningkatan ketika PRU15 orang Melayu menaruh harapan dan kepercayaan kepada PN berdasarkan rekod pemerintahan PN ketika PRU14 dahulu.

“Bukan kita (PN) tak percaya Umno tapi rakyat sendiri dah tak menaruh kepercayaan kepada Umno lagi dah,” katanya.



Comments
Loading...