6 Parlimen, 1 DUN kosong, Bersatu akan hantar notis kekosongan pada speaker
Ketua Penerangan Razali Idris berkata langkah itu susulan keahlian penyandang terhenti serta-merta berkuat kuasa 31 Mei.
(FMT) – Bersatu akan menghantar notis kekosongan kerusi melibatkan enam kawasan Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam tempoh terdekat, kata Ketua Penerangan Razali Idris.
Katanya, buat permulaan notis kekosongan kawasan Parlimen akan dihantar Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, lapor Berita Harian.
Beliau merujuk kerusi disandang Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Selain itu, kawasan Selat Klang disandang Abdul Rashid Asari juga dirujuk Razali.
Semua mereka sebelum ini, menyatakan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun enggan keluar parti, dengan Rashid pula menyokong kerajaan Selangor, pimpinan Menteri Besar Amirudin Shari.
Semalam, Razali mengesahkan kepada FMT di mana keahlian semua Ahli Parlimen dan satu Adun tersebut terhenti serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan khusus Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk mengesahkan kesetiaan.
Katanya, keahlian mereka terhenti berkuat kuasa 31 Mei, tarikh akhir untuk menandatangani dan menyerahkan surat tersebut.
Sebelum itu, Presiden Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Adun Bersatu menandatangani surat arahan khusus MPT seperti yang dikehendaki dalam tempoh 14 hari.
Arahan khusus tersebut dikeluarkan susulan tindakan enam Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seorang Adun Selangor menyokong Menteri Besar Amirudin Shari.
Muhyiddin mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka akan disifatkan terhenti sekiranya gagal mematuhi arahan MPT.