Kelantan rangka RUU Pentadbiran Mahkamah Syariah baharu


Kerajaan Kelantan sedang menyediakan draf penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah terbaharu yang akan menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Kelantan) 1982.

(Berita Harian) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, draf awal pindaan itu juga sudah dibentangkan di mesyuarat Ahli Majlis Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Katanya, mesyuarat berkenaan juga memutuskan untuk ditubuhkan satu Jawatankuasa Kerja yang khusus bagi mengkaji semula penggubalan draf awal cadangan yang dibentangkan itu.

“RUU yang dicadangkan adalah lebih komprehensif. Oleh itu, penggubalan RUU adalah di peringkat kajian terperinci oleh Bahagian Undang-Undang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

“Di peringkat mahkamah, ia mengambil kira pelaksanaan di negeri-negeri lain dari segi dasar atau perancangan masa depan oleh Kerajaan Persekutuan untuk proses penyeragaman dan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia,” katanya pada persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zameri Mat Nawang (PAS- Jelawat) mengenai status terkini cadangan pindaan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan 1982.

Mohd Asri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, penggubalan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah itu untuk menggantikan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah sedia ada pasca pembatalan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 (EKJS).

Katanya, RUU itu bagi membuka ruang dan jaminan pelaksanaan keadilan kes syariah melalui institusi kehakiman Mahkamah Syariah setanding institusi kehakiman Mahkamah Sivil.

“Antara aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam penggubalan enakmen ini adalah melalui cadangan peningkatan peringkat mahkamah daripada tiga peringkat kepada empat atau lima peringkat yang kini di peringkat kajian terperinci.

“Peningkatan ini bagi memastikan peluang rayuan kes syariah adalah dua kali iaitu rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan ke Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Hafidzah Mustakim (PH- Kota Lama) berhubung usaha Kerajaan Negeri menyelaras perkara itu dengan Jawatankuasa Kehakiman Syariah yang ditubuhkan di peringkat kebangsaan, Mohd Asri berkata, Kerajaan Negeri juga mempunyai hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini (penggubalan RUU).

Pada 6 Mac lalu, DUN Kelantan Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Usul yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu itu, dibacakan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan dipersetujui oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua pembangkang.



Comments
Loading...