Teliti peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, BERSATU sebelum putuskan nasib 6 MP – Shamrahayu


Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mesti dilihat bersekali dengan Perkara 10.4 Perlembagaan BERSATU untuk menentukan status enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang keahlian mereka dalam parti tergugur secara automatik.

(Berita Harian) – Mereka tergugur sebagai ahli parti selepas didakwa enggan akur arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU untuk menzahirkan ikrar taat setiap kepada parti selepas sebelum itu menyatakan sokongan kepada pemimpin lawan yang menerajui kerajaan.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, menyarankan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk meneliti dan menilai peruntukan terkandung dalam kedua-dua Perlembagaan sebelum memutuskan nasib wakil rakyat berkenaan.

“Mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN yang tak patuh arahan, BERSATU tak guna istilah ‘gugur’ dalam Perlembagaan parti, tetapi ‘terhenti keahlian’. Setiausaha agung atas arahan MPT kemudian perlu memaklumkan secara bertulis kepada ahli bahawa keahlian mereka digugurkan, dihentikan serta-merta.

“Mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, kalau seseorang ahli Dewan tidak lagi jadi anggota parti politik, maka kerusinya kosong, tidak lagi jadi ahli. Maknanya apabila Ahli Parlimen terima pemberitahuan daripada parti, setiausaha agung bahawa dia telah terhenti keahlian, saat itu kerusi jadi kosong.

“Jadi orang yang tetapkan (keputusan berhubung status) kerusi itu adalah Speaker. Speaker perlu teliti sebaik-baiknya (kedua-dua) Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan untuk terhenti keahlian itu, ” katanya kepada BH hari ini.

Perlembagaan BERSATU yang dipinda 2 Mac lalu membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10, berkait hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli BERSATU yang menjadi wakil di Dewan Rakyat atau DUN yang tidak patuh apa-apa arahan dikeluarkan MPT selari dengan Fasal 10.5, disifatkan terhenti keahlian daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan MPT boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakilnya di Dewan Rakyat atau DUN dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk Fasal 10.4, iaitu setiausaha agung atas arahan MPT hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan bagi memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Merujuk undang-undang antilompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No3) 2022 (Akta A1663), seseorang Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya menjadi kosong sebaik saja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Fasal 49A Perlembagaan Persekutuan, kata Shamrahayu, menyatakan kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat jika ahli Dewan itu melepaskan keanggotaan parti politik atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu atau setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

Dalam fasal sama, katanya, turut menyatakan seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu hanya disebabkan oleh pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya, pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang Dipertua atau pemecatan daripada keanggotaan dalam parti politiknya.



Comments
Loading...