PRK Sungai Bakap: BN akan bantu kempen calon PH
Barisan Nasional (BN) akan membantu kempen calon daripada parti rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
(Berita Harian) – Bendahari BN merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata BN akan membantu pihak yang diisytiharkan sebagai rakannya.
“Seperti PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB), calon DAP (Pakatan Harapan) yang bertanding, tetapi kita turun membantu (kempen).
“Konsep kita (BN) mementingkan negara walaupun kita bukan majoriti (dalam kerajaan perpaduan), namun kita turun bantu. Kita tidak boleh sabotaj,” katanya selepas merasmikan Konvensyen BN Negeri Kelantan 2024, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, BN mengamalkan konsep persefahaman dan sentiasa membantu.
“Macam PAS juga, dulu mereka bersama-sama DAP dan selepas itu mereka tidak bekerjasama (sama-sama bantu),” katanya.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK itu pada 22 Jun manakala undi awal dan hari pengundian masing-masing pada 2 dan 6 Julai.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.