Johor mohon 30% hasil negeri dikembalikan


Onn Hafiz Ghazi berkata hasil itu penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk pembangunan.

(FMT) -Kerajaan Johor secara rasmi memohon kerajaan persekutuan mengembalikan sekurang-kurangnya 30% hasil cukai negeri itu kepadanya, selaras titah Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Ahad lalu.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata permohonan itu telah disampaikan dalam sesi menghadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Shahrol Anuwar Sarman.

“Perkara ini penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap lebih baik,” katanya di Facebook.

Onn Hafiz berkata perkara lain dibincangkan dalam sesi itu termasuk membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di Kulai dan Johor Bahru.

“Turut dibincangkan projek khas berimpak tinggi negeri seperti cadangan pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru.”

Ahad lalu, Tunku Ismail menyuarakan harapan pada masa hadapan sekurang-kurangnya 20-30% daripada hasil negeri akan kembali ke Johor.

Beliau berkata semua hasil cukai negeri pada masa ini diserahkan kepada kerajaan persekutuan.

“Itu RM48-49 bilion setahun, dan mereka memberi kami kembali RM1.4 bilion. Bagaimana kita hendak menjaga rakyat Johor dengan RM1.4 bilion setahun?”

 



Comments
Loading...