Beku akaun: Jabatan Peguam Negara akan bantah semakan Daim, keluarga
Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan semakan kehakiman pada 8 Ogos.
(FMT) – Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mahkamah Tinggi pihaknya akan membantah semakan kehakiman Daim Zainuddin, ahli keluarga dan syarikat berkaitan mereka untuk membatalkan pembekuan akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili peguam negara memberitahu jabatan itu memerlukan masa bagi merumus dan memfailkan hujahan berkait perkara tersebut.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengarahkan kedua pihak memfailkan hujahan pada 12 Julai.
Mahkamah juga menetapkan permohonan keluarga terbabit bagi kebenaran semakan kehakiman didengar pada 8 Ogos.
Pemohon diwakili peguam Nizamuddin Abdul Hamid.
Pada 6 Jun, Daim, keluarganya dan 18 syarikat dikaitkan dengan mereka memfailkan permohonan, menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai responden bersama.
Mereka mendakwa, Anwar ‘menggunakan pengaruhnya’ ke atas SPRM untuk ‘agenda peribadinya’ terhadap Daim.
Keluarga itu mendakwa, akibat pengaruh itu SPRM pada 7 Jun tahun lalu mengeluarkan perintah pembekuan bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 meliputi semua akaun mereka.
Selain Anwar dan SPRM, pemohon juga menamakan empat responden lain, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan dan kerajaan Malaysia.
Pihak keluarga berkata, perintah pembekuan telah luput pada September tahun lalu, tetapi mereka tidak didakwa atas sebarang kesalahan pengubahan wang haram.
Mereka juga mendakwa, tidak diberitahu apa kesalahan pengubahan wang haram yang sedang disiasat oleh SPRM untuk menjamin penyitaan itu.
Keluarga Daim mendakwa, pembekuan akaun peribadi dan syarikat mereka dilakukan dengan niat jahat dan kini memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman untuk membatalkannya.