BERSATU serah notis terhenti keahlian serta-merta kepada 6 wakil rakyat


BERSATU hari ini, menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

(Berita Harian) – Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata notis berkenaan selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang bermesyuarat, Jumaat lalu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, penyerahan juga dibuat selepas ia dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat malam tadi.

“Bagi kes Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (ahli Parlimen Labuan) pula, keahlian beliau terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.6 Perlembagaan BERSATU. Notis terhenti secara serta-merta keahlian dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei lalu.

“Semua proses ini dilakukan dengan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara seperti diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, BERSATU dilapor akan menghantar notis kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung status keahlian serta kedudukan kerusi yang disandang mereka ketika ini, dalam masa terdekat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik berkata pihaknya selepas itu akan menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan mereka.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan MPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.



Comments
Loading...