‘Kes Batu Puteh bukan keputusan saya sendirian’ – Tun M


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan membuat keputusan sendirian dalam kes membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga Malaysia kehilangannya.

(Harian Metro) – Beliau berkata, sebaliknya keputusan itu diputuskan Kabinet pada 2018, dengan pihaknya hanya memberi pandangan supaya tuntutan itu tidak diteruskan.

Katanya, ini kerana pakar undang-undang dan peguam ketika itu yang berpendapat ia adalah suatu kes yang lemah untuk Malaysia.

“Saya tidak membuat keputusan secara bersendirian sebaliknya hanya memberikan pendapat bahawa Malaysia tidak patut meneruskan kerana ia adalah kes yang lemah dan kita tidak mempunyai ‘peluru’ (silver bullet) untuk menang.

“Walaupun sebagai Perdana Menteri saya ada kuasa, tetapi saya memilih untuk tidak membuat keputusan sebaliknya ia diputuskan Kabinet dan kita perlu menghantar keputusan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 8 Jun 2018,” katanya ditemui media selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di sini, hari ini.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Perdana Menteri (pada 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ketika menjawat Perdana Menteri pada 2022, mengakui kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan Dr Mahathir sehingga Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008.

Pada 2008, ICJ memutuskan memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan tuduhan dibuat Azalina adalah karut kerana Kabinet ketika itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri serta beberapa menteri yang masih berkhidmat tidak menentang idea terbabit.

Mengenai kenyataan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa beliau tidak dirujuk oleh Dr Mahathir ketika menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ itu, negarawan itu berkata, ia kerana Mohamed Apandi didakwa tidak boleh dipercayai dan tidak melakukan kerja dengan betul.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Azalina, Ismail Sabri dan Mohamed Apandi, Dr Mahathir memaklumkan akan memikirkan perkara itu terlebih dahulu.

“Kalau kita saman seseorang, ia akan mengambil masa 10 tahun untuk mendapatkan keputusan dan ketika itu saya sudah berada di ‘tempat’ lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, ketika Malaysia dan Singapura memutuskan untuk membawa perkara berkaitan Pulau Batu Puteh kepada ICJ, perjanjian sudah dibuat bahawa apa sahaja keputusan perlu diterima oleh kedua-dua negara.

“Kita perlu mematuhi janji (untuk terima keputusan), kalau mungkir janji, nama buruk terdapat pada Malaysia,” katanya.



Comments
Loading...