Johor rakan setaraf atau hanya sebuah negeri milik Malaysia?


Hassan Karim, Malaysiakini

Kenyataan Tunku Mahkota Johor, iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemangku Sultan Johor sekarang yang menyatakan antara lainnya bahawa Johor adalah rakan setaraf dalam Persekutuan Malaysia sama seperti Sabah dan Sarawak dan wajar diberi kedudukan istimewa termasuk dalam soal hasil pungutan cukai adalah satu pandangan yang ada asasnya dari segi perundangan Perlembagaan, politik dan juga sejarah.

Johor moden sekarang adalah kesinambungan Johor lama yang pernah membina empayar Johor Riau.

Empayar Johor Riau adalah kerajaan Melayu yang wujud selepas jatuhnya empayar Melaka. Johor lama pernah meneruskan penentangan dan melancarkan perang ke atas penjajah Portugis dan Belanda selepas Melaka jatuh.

Mungkin pendirian dan tuntutan baginda itu pada pandangan sesetengah pihak sebagai tidak selari dan tidak bersesuaian dengan intipati Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Tetapi saya mempunyai pandangan yang bersimpati dengan apa yang disuarakan oleh Tunku Ismail tu perlu dilihat melalui kanta yang lebih luas dan tidak terkongkong dengan tafsiran perundangan Perlembagaan yang asalnya digubal oleh Suruhanjaya Reid bagi pihak kerajaan kolonial Inggeris sebelum Persekutuan Tanah Melayu terbentuk.

Sejarah dan rekod sejarah menyatakan secara bertulis bahawa Johor pada asalnya adalah sebuah negeri yang merdeka. Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah mengecilkan saiz Johor dengan wilayah-wilayah di selatan Singapura diserah kepada Belanda manakala Singapura serta wilayah di utaranya terletak dalam kuasa Inggeris.

Johor tidak seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura pernah menjadi tanah jajahan Inggeris secara langsung dan dipanggil Negeri-negeri Selat.

Johor juga bukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terpaksa menerima pegawai Inggeris bernama residen sebagai penasihat yang nasihatnya wajib diikut oleh kerajaan-kerajaan Pahang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Keempat-empat negeri ini dipanggil Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Johor pada akhirnya bersetuju secara sukarela menggolongkan dirinya sebagai Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu bersama-sama Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Johor pada asasnya menerima kuasa Inggeris sebagai kuasa penaung tetapi Johor kekal sebagai wilayah yang merdeka wilayah dan raja pemerintahnya mempunyai kedaulatan atau sovereignty yang diiktiraf oleh kerajaan kolonial Inggeris dan sistem kehakiman England. Ini dapat dilihat dalam kes yang melibatkan Sultan Abu Bakar, sultan pemerintah Johor satu ketika dahulu.

Berbanding dengan Sarawak yang pernah menjadi negeri jajahan Raja James Brooks dan disusuli dengan Sarawak jatuh ke tangan kerajaan kolonial Inggeris di mana Sarawak tidak pernah wujud sebelum itu sebagai wilayah merdeka kerana Sarawak sebelum kedatangan James Brooks adalah merupakan sebahagian daripada wilayah di bawah penguasaan Kesultanan Brunei.

Manakala sejarah Johor tidak pernah ditewaskan dalam perang oleh Portugis, Belanda ataupun Inggeris. Johor kekal merdeka walaupun pada satu detik sejarah Singapura sebahagian dari Johor jatuh ke tangan Inggeris secara manipulasi dan penipuan Stamford Raffles.

Johor juga tidak semacam sejarah Sabah yang pernah menjadi wilayah penguasaan Kesultanan Sulu dan juga Kesultanan Brunei. Sabah tidak pernah mengalami hidup sebagai wilayah merdeka seperti Johor sebelum pembentukan Malaysia.

Jadi jika Tunku Ismail menuntut Johor dilayan oleh Persekutuan Malaysia sebagai rakan Persekutuan seperti Sabah dan Sarawak maka tuntutan sedemikian rupa bukannya sesuatu yang nonsense atau tak masuk akal.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada tahun 1957, atau sebelum wujudnya gagasan Malayan Union oleh Inggeris pada tahun 1946, Johor telah mempunyai Perlembagaan Negeri Johor sendiri yang dipanggil Undang-undang Tubuh Johor tahun 1895. Undang- undang Tubuh Kerajaan Johor ini (The Laws of the Constitution of 1895) yang merupakan Laws of the State of Johore telah wujud sejak 129 tahun yang lalu dan kekal berkuatkuasa hingga sekarang.

Perlu diingat bahawa apabila terbentuknya Persekutuan Malaysia pada September 1963 maka Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 terlupus dan mansuh. Ketika itu Johor dan semua 11 negeri-negeri Melayu di Semenanjung terbebas dari Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan menjadi rakan dalam Persekutuan Malaysia dengan status duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setaraf dengan Sabah dan Sarawak.

Johor yang tidak pernah dijajah secara langsung oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun yang mempunyai sejarah panjang sebagai sebuah wilayah yang berdaulat tentu tidak dapat menerima kedudukan kelas dua dalam Persekutuan Malaysia.

HASSAN ABDUL KARIM merupakan ahli parlimen Pasir Gudang.

 



Comments
Loading...