Perut bumi Sarawak simpan mineral bernilai lebih RM1 trilion


Sarawak dikenal pasti memiliki pelbagai bahan mineral berharga yang dianggarkan bernilai RM1.25 trilion.

(Berita Harian) – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata anggaran nilai bahan mineral yang tinggi itu membolehkan Sarawak berpotensi membuat pelaburan dalam industri perlombongan, sekali gus memberi pulangan berlipat ganda kepada ekonomi.

Beliau berkata, bahan mineral berharga itu termasuk emas, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), pasir silika berkualiti tinggi dan bauksit.

“Berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains, perut bumi Sarawak mempunyai simpanan bahan mineral berharga dengan nilai yang besar.

“Sebab itu sektor perlombongan mineral menjadi satu bidang yang menjadi tumpuan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), namun ia belum dibangunkan secara menyeluruh dan kajian terperinci masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Korban 2024 di Surau Wakaf, Taman Indah, Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, Sarawak dikenal pasti kaya dengan emas yang ditemui di Bau dan beberapa kawasan di Sri Aman.

“Perlombongan emas di Bau sudah bermula sejak tahun 1800 namun dihentikan pada tahun 1997.

“Namun sekarang ada syarikat dari Kanada mengesahkan masih banyak emas di perut bumi Bau,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau mengadakan lawatan ke Kanada minggu lalu bagi melihat dan mempelajari kaedah negara berkenaan membangunkan sektor perlombongan.

Beliau berkata, perlombongan adalah sektor ekonomi yang agak besar di Kanada apabila menyumbang tidak kurang daripada 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu yang memberi peluang pekerjaan yang banyak serta memberi impak kepada sosioekonomi masyarakat.

“Mereka (Kanada) bukan sahaja terbabit di peringkat ‘upstream’ dan ‘midstream’, malah sudah begitu berjaya di peringkat downstream.

“Itulah yang kita hendak pelajari, iaitu pertamanya kita hendak melihat dari segi undang-undang yang menyentuh mengenai perlombongan sektor, bagaimana ia dilaksanakan mengikut dasar untuk membangunkan sektor mineral di Kanada,” katanya.

Selain itu, katanya lawatan itu juga meneliti dari segi pengurusan dan operasi, meneliti amalan teknologi mereka yang jauh ke depan serta meneliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor perlombongan di Kanada,” katanya.



Comments
Loading...