PRK Sungai Bakap: Calon PH, PN sama berkredibiliti, penganalisis lihat faktor lain boleh bawa kemenangan


Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan anak tempatan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi memenuhi aspirasi pengundi.

(Berita Harian) – Usaha PH untuk merampas kerusi itu digalas bekas Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, manakala PN pula mahu mengekalkan kerusi berkenaan melalui calonnya, Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang daripada PAS, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian pada 6 Julai, selepas penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing 22 Jun dan 2 Julai.

Pemerhati politik melihat Abidin ada sedikit kelebihan pengalaman politik, namun tidak menolak peluang Joohari yang boleh menonjol jika parti dalam Kerajaan Perpaduan, di peringkat negeri mahupun Persekutuan mengerah sebaik mungkin jentera masing-masing sepanjang kempen.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan secara umumnya, kewibawaan dan reputasi kedua-dua calon boleh dikatakan seimbang.

Katanya walaupun calon PN ada sedikit kelebihan, calon PH tetap berpeluang untuk memberi saingan dengan bantuan bukan sahaja daripada jentera parti, bahkan kerajaan negeri dan pusat.

“Saya rasa kedua-dua calon mempunyai kelebihan. Calon PN adalah Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal dan pernah menjadi pegawai khas Allahyarham Nor Zamri. Bermakna dia tahu lokaliti dan juga demografik di situ sepenuhya.

“Dari sudut umur, dia juga lebih muda daripada Joohari. Calon PH juga anak tempatan dan pernah berkhidmat dalam sektor perguruan sehingga IAB, selain aktif dalam gerakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Dari segi reputasi dan kredibiliti, saya rasa kedua-dua calon ada kewibawaan. Cuma kalau calon PN, ada kelebihan meliputi faktor politik berbanding calon PH yang barangkali tidak nampak jawatan dalam politik kepartian,” katanya kepada BH hari ini.

Di samping bergantung kepada latar belakang calon, Sivamurugan berpandangan, tumpuan juga perlu kepada jentera parti dan PRK ini akan menguji gabungan PH-Barisan Nasional (BN) serta PN, adakah wujud kerjasama jitu antara parti komponen masing-masing.

“Selepas calon mempunyai kredibiliti, kita harus lihat jentera parti. Dalam konteks PN, ini juga akan menguji kerjasama PAS dan BERSATU, sejauh mana boleh dimobilisasi bersama sebagaimana PH bersama BN.

“Kelebihan PH dari sudut jentera parti kerana mereka memegang tampuk kerajaan negeri dan boleh menggunakan jentera sebaik mungkin walaupun penyandang kerusi daripada PN. Bagi saya, kedua-dua calon ada peluang sama.

“Yang boleh menentukan kemenangan juga adalah aliran sokongan penyokong UMNO, sama ada akan melakukan protes seperti Pilihan Raya Negeri (PRK) lalu, yang membolehkan calon PN ketika itu menang atau mereka akan kembali menyokong Joohari,” katanya.

Katanya, DUN Sungai Bakap, secara tradisinya adalah kerusi BN sehingga 2008 apabila dirampas PKR yang mengekalkannya sehingga PRN 2023 sebelum tewas kepada PN.

“Jadi kombinasi kekuatan ini juga jika digabungkan boleh membawa keputusan berbeza berbanding PRK yang lain,” katanya.



Comments
Loading...