Mohd Azizi tak terkejut, bawa kes ke mahkamah


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.

(Harian Metro) – Katanya, perkara berkenaan sudah dijangka selepas mengetahui terdapat sidang media oleh Speaker DUN Kelantan hari ini.

“Saya tidak terkejut kerana saya sudah jangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes ini ke mahkamah.

“Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan hanya berdasarkan notis pemecatannya sebagai ahli Bersatu.

“Kita mempersoal beberapa perkara berhubung notis berkenaan iaitu surat yang dihantar oleh Bersatu sebelum ini hanya memaklumkan hilang keahlian.

“Notis terbabit juga tidak menyentuh soal kedudukan sebagai Ahli Parlimen dan Adun,” katanya.

Terdahulu, Kelantan mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Perkara berkenaan diumumkan Mohd Amar pada sidang media di pejabatnya.

 



Comments
Loading...