Keputusan Speaker Kelantan berunsur politik, bias – Umno


“Sedangkan Mohd Azizi bertanding di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menggunakan logo Pas dan menerima watikah calon juga daripada PAS.

(Harian Metro) – Umno menyifatkan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri berkuat kuasa semalam lebih kepada politik dan bias.

Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman berkata, keputusan dibuat berdasarkan surat yang dihantar Setiausaha Agung Bersatu yang memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli parti berkenaan.

“Sedangkan Mohd Azizi bertanding di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menggunakan logo Pas dan menerima watikah calon juga daripada PAS.

“Keputusan dibuat semata-mata surat daripada Bersatu dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Apa yang saya lihat, Pas mahu bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

“Justeru, Pas buang wakil rakyat itu bagi membolehkan parti itu bertanding,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Adun dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Mengulas lanjut, Zawawi bagaimanapun berkata pihaknya tertakluk kepada keputusan dibuat speaker.

“Keputusan Speaker tidak salah cuma kita melihat ia dibuat menjurus kepada isu politik dan bias.

“Apabila Speaker memaklumkan kerusi kosong dan perlu diisi dalam tempoh tertentu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan apa yang patut berdasarkan pemakluman Speaker,” katanya.



Comments
Loading...